Lebih persaingan kurang rasuah

A
A
A

SECARA umumnya, tingkah laku manusia boleh diubah dengan dua cara – pujukan moral atau tarikan insentif. Masyarakat kita mungkin lebih tertarik dengan pujukan moral kerana kita percaya kepada kuasa nilai-nilai moral dan agama.

Akan tetapi, sejarah manusia di setiap benua juga penuh dengan contoh kemunafikan. Tokoh-tokoh politik dan masyarakat, malah agama yang paling pandai berhujah tinggi itu 'cakap tidak serupa bikin’ sampai orang kebiasaan menjadi sinis dan tak percaya sebarang dakwaan.

Kita sebenarnya juga tidak asing dengan kaedah insentif. Bila guru tadika memberikan tanda bintang kepada anak murid yang buat kerja rumah, ganjaran itu insentif yang positif. Apabila murid yang nakal dirotan atau didenda, hukuman itu insentif yang negatif.

Apa yang mungkin kurang dalam masyarakat kita adalah kita guna kanta insentif lebih untuk orang kebiasaan tetapi jarang untuk tokoh-tokoh atau golongan elit.

Itu sebabnya kita senang teruja membaca cerita negara China menghukum mati pegawai kerajaan yang makan rasuah tetapi kurang berfikir mendalam tentang pengkhianatan elit, sedangkan nenek moyang kita sudah lama mengamati kecelakaannya.

Pengkhianatan elit boleh berlaku tanpa orang asing yang jahat. Pengkhianatan elit berlaku apabila mereka yang berkuasa mengambil kesempatan, malah menganiayai orang sendiri.

Dalam masyarakat feudal, orang-orang besar sering dilihat sebagai pelindung orang kebiasaan, dipercayai dan disayangi macam ibu bapa. Memang ramai yang naif ingat dirinya anak harimau dan harimau tak makan anak.

Dalam ilmu pengurusan, pengkhianatan elit dinamakan principal-agent problem (masalah 'si pemberi amanah’ dan 'si penerima amanah’).

Artikel Berkaitan:

Dalam bahasa Melayu, ungkapannya ringkas dan mudah sekali difahami – 'harapkan pegar, pegar makan padi’.

Petani Melayu zaman silam tiada ubat perosak dan terpaksa bergantung kepada burung pegar untuk menghapuskan serangga perosak seperti mana rakyat bergantung kepada kerajaan untuk menjaga kebajikan mereka.

Akan tetapi, sang pegar ada nafsunya untuk makan padi selain makan serangga. Apabila sang pegar pecah amanah dan salahgunakan kuasanya untuk makan padi, itulah 'rasuah’ dalam definisi moden.

Macam mana kita sekat rasuah oleh kluster sang pegar? Pertama, kita perlu ingat pegar itu alat, bukan tuan. Pantang sekali kalau kita mempertuankan pegar sampai kita tak tahu rasa marah apabila padi dimakan. Paling penting, kita tidak boleh membenarkan munculnya monopoli pegar. Kita mesti pastikan ada perpecahan dan persaingan antara pegar-pegar.

Maka, kalau ada pegar yang makan padi, kita boleh gantikannya dengan pegar yang lain. Dengan persaingan, kita tak takut pun kalau pegar itu cuma cekap bekerja tetapi tidak berhemah tinggi. Tanpa persaingan, nasib padi bergantung kepada akhlak pegar!

Maka, kita harus tanya: Mengapa masih begitu ramai perasuah di China sungguhpun ada hukuman mati? Sebaliknya, mengapa hampir tiada rasuah di negara-negara Barat seperti New Zealand dan Denmark sungguhpun tiada hukuman mati?

Salah satu jawapannya: China adalah negara satu parti, maka kluster sang pegarnya bermonopoli, manakala di New Zealand dan Denmark, parti-parti bersaling ganti, kerajaan pun mungkin minoriti, beranikah pegar makan padi?

Kalau nak goreng kangkung,

Dengan belacan tambahlah rasa.

Nyamuk biak dalam air bertakung,

Rasuah biak dalam monopoli kuasa

* Prof Wong Chin Huat (chinhuatw@gmail.com) ialah seorang ahli sains politik yang khusus dalam sistem pilihan raya, politik parti dan demokrasi berparlimen