Tiada keretakan, mesyuarat bincang perkukuh MN

Kepimpinan Jawatankuasa Perundingan Muafakat Nasional selesai bermesyuarat selama lebih dua jam di Menara Dato Onn pada Rabu.
Kepimpinan Jawatankuasa Perundingan Muafakat Nasional selesai bermesyuarat selama lebih dua jam di Menara Dato Onn pada Rabu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Muafakat Nasional (MN) membuktikan tiada keretakan dalam gagasan itu apabila Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan MN pada Rabu setuju untuk memperkukuhkan hubungan kedua-dua parti, Pas dan UMNO.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, mesyuarat itu adalah rutin yang telah dijadualkan dan tiada sebarang perkara lain diputuskan.

"Banyak yang dibincangkan untuk memperkukuhkan MN, kerjasama dan sebagainya. Berkenaan program-program bersama dan sebagainya untuk Ramadan..banyak program bersama yang kita susun," katanya ditemui pemberita di Menara Dato Onn di sini pada Rabu.

Ditanya mengenai perbincangan berhubung sokongan kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tuan Ibrahim bagaimanapun berkata perkara itu tidak dibincangkan.

"Itu Perikatan Nasional (MN), malam ini kita bincang tentang MN," katanya.

Ketua Penerangan Pas, Kamaruzaman Mohamad juga mengesahkan mesyuarat berkenaan berlangsung tenang.

"Tiada ketegangan (malah) kita dah atur mesyuarat akan datang maknanya (hubungan) MN sedang berjalan dengan baik," katanya.

Sementara itu, MN dalam kenyataan media yang dikeluarkan menekankan perkara sama berhubung keputusan mengukuhkan MN setelah lebih dua jam bermesyuarat.

Artikel Berkaitan:

Turut dinyatakan keprihatinan yang amat serius atas keputusan Mahkamah Persekutuan yang membenarkan penggunaan kalimah ALLAH oleh orang bukan Islam dalam penerbitan dengan menggesa kerajaan merayu untuk membawa penghakiman ke Mahkamah Rayuan.

“Mesyuarat pada hari ini juga menggesa pihak kerajaan Persekutuan untuk mengambil inisiatif menyegerakan pelaksanaan pengharmonian sistem perundangan negara dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan,” menurut kenyataan itu.