Hamidin sedia pikul tugas Ketua Kontinjen Malaysia

Hamidin (kanan) menerima dokumen pelantikan sebagai Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA 2021 daripada Norhashimi di Wisma FAM pada Rabu. FOTO: BERNAMA
Hamidin (kanan) menerima dokumen pelantikan sebagai Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA 2021 daripada Norhashimi di Wisma FAM pada Rabu. FOTO: BERNAMA
A
A
A

MENGENALI sukan dan persatuan sukan kebangsaan yang terlibat adalah antara cabaran awal buat Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA 2021, Datuk Hamidin Mohd Amin.

Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) itu berkata, beliau sedia mempelajari 40 jenis sukan dan bertemu wakil persatuan sukan yang disenaraikan di temasya Hanoi, Vietnam bermula 21 November hingga 2 Disember depan.

"Saya mengambil maklum amanah ini berat, yang mustahaknya sebagai ketua kontinjen saya mahu pastikan pasukan-pasukan yang bertanding di Hanoi berada pada tahap tinggi dari segi semangat dan persiapan mereka nanti.

"Ini memerlukan kerjasama erat daripada Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan Sekretariat Majlis Sukan Negara (MSN) untuk membawa kontinjen ini pada November dalam keadaan terbaik. Dari segi sukan yang akan disertai, jumlah atlet dan sasaran akan ditentukan kemudian," katanya pada sidang media di Wisma FAM pada Rabu.

Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria mengumumkan Hamidin untuk mengetuai kontinjen negara ke Hanoi selepas Mesyuarat Lembaga Eksekutif MOM pada Selasa, sekali gus menjadi pegawai bola sepak pertama memikul tanggungjawab itu.

Menurut Hamidin, beliau sedar cabaran luar biasa dan ketidaktentuan akan dihadapinya dalam mengendali kontinjen mengikut norma baharu dan prosedur operasi standard (SOP) khas dalam era pandemik Covid-19.

Katanya, dengan pengalaman berurusan dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk mengembalikan bola sepak, ia dapat membantu mempersiap kontinjen dalam segala kemungkinan.

"Kita tidak pasti jika Covid-19 akan hilang dalam tempoh beberapa tahun ini. Saya jangka semua atlet dan pegawai akan dapat vaksin sebelum bertolak ke Hanoi secara berperingkat... Ia dapat meningkatkan paras keyakinan mereka, jadi banyak masalah dapat diselesaikan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Hamidin menegaskan bahawa FAM tetap membariskan skuad bola sepak bawah-19 tahun (B-19) ke temasya dwitahunan itu walaupun persepsi penyokong meningkat untuk melihat Malaysia meraih 'ibu segala pingat emas' apabila beliau dilantik sebagai ketua kontinjen.

"Sasaran utama bagi skuad B-19 masih kekal, iaitu memberi pendedahan di Sukan SEA kali ini untuk meraih emas pada edisi 2023 dan layak ke Sukan Olimpik Paris 2024 nanti. Sebanyak 30 pemain sedang beraksi bersama skuad Projek FAM-MSN (di Liga Premier), manakala lebih kurang 19 pemain beraksi bersama pasukan lain," katanya.

Pada sidang media itu juga, Pengurus Besar Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Norhashimi Hussain menyerahkan surat pelantikan Ketua Kontinjen kepada Hamidin.

- Bernama