Tajaan lawatan PDRM : Kerajaan perlu beri penjelasan

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menggesa kerajaan memberi penjelasan berhubung tajaan sebuah syarikat judi terhadap lawatan 16 Pegawai Tertinggi Polis DiRaja Malaysia (PDRM) di Istanbul, Turki.

Menerusi hantaran di laman Facebook beliau, bekas Ketua Pemuda UMNO itu menegaskan penjelasan harus dibuat kerana ‘tidak mahu wujud konflik kepentingan’ dalam isu tersebut.

“Menteri Dalam Negeri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) sahkan 'lawatan kerja' Ketua Polis Negara (Tan Sri Mohamad Fuzi Harun) dan rombongan beberapa pegawai tertinggi PDRM ke Turki diluluskan beliau.

“Kononnya lawatan tersebut adalah untuk belajar tentang kaedah menangani masalah judi online (atas talian).

“Menteri Kewangan (Lim Guan Eng) pula menyatakan 'lawatan kerja' tersebut dibuat menerusi Lembaga Totalisator Malaysia, agensi di bawah Kementerian Kewangan tetapi segala kos perbelanjaan ditaja oleh Da Ma Cai, sebuah syarikat judi dan loteri di Malaysia,” tulis beliau.

Menurut Khairy Jamaluddin, penjelasan tersebut secara tidak langsung bermakna sebuah syarikat judi menaja pasukan polis untuk belajar menangani masalah judi haram.

“Menteri Dalam Negeri dan Menteri Kewangan harus segera menyatakan jumlah sebenar kos yang telah ditaja oleh Da Ma Cai.

“Jika melihat gambar yang tersebar di internet, pegawai polis yang turut serta dalam lawatan kerja tersebut ditemani oleh isteri mereka,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Hari ini, Guan Eng memberitahu kos lawatan Mohamad Fuzi dan beberapa pegawai tinggi PDRM ke Turki tidak ditanggung Kementerian Kewangan.

Beliau berkata lawatan itu juga tidak diluluskan oleh kementeriannya tetapi oleh Lembaga Pengarah Totalisator Malaysia, yang merupakan syarikat di bawah Kementerian Kewangan.

"Kementerian tidak memberi satu sen pun kepada Totalisator Malaysia sebaliknya syarikat itu mendapat sumber kewangan dari syarikat nombor ramalan (Damacai)," katanya kepada media selepas majlis penyerahan cek kepada sekolah tahfiz berdaftar di sini.