Sel-T lawan Covid-19

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SINGAPURA - Penyelidikan terbaharu di Singapura mendapati vaksin Pfizer-BioNTech dapat membantu tubuh menghasilkan antibodi dan jenis sel imun tertentu bagi melawan virus Sars-CoV-2.

Laporan itu sekali gus menjelaskan bagaimana vaksin tersebut dapat memberi perlindungan dalam tempoh seawal 12 hari selepas suntikan dos pertama.

Pasukan penyelidik di Hospital Besar Singapura (SGH) dan Duke-NUS Medical School mendapati perlindungan itu adalah hasil daripada tindak balas antibodi dan jenis sel imun yang kuat dikenali sebagai sel-T yang menyasarkan virus Sars-CoV-2 secara spesifik.

Keputusan itu diperoleh berdasarkan tindak balas imun 20 kakitangan kesihatan yang diberikan suntikan vaksin Pfizer-BioNTech pada Januari lalu dan telah dikemukakan kepada jurnal saintifik Cell Press.

Kajian mereka mendapati kesemua individu terbabit menghasilkan sel-T iaitu jenis sel darah putih dalam tempoh kira-kira 10 hari selepas mendapat suntikan dos pertama.

Seramai 16 daripada mereka atau 80 peratus menghasilkan antibodi yang melawan lonjakan protein virus tersebut selepas tempoh 12 hari.

Difahamkan, sel-T adalah komponen penting dalam sistem imun yang mempunyai pelbagai fungsi dan salah satunya adalah untuk mengesan dan memusnahkan sel dijangkiti virus bagi menghalang penyebarannya.

Profesor Madya, Jenny Low yang merupakan perunding kanan dengan Jabatan Penyakit Berjangkit di SGH berkata, hanya empat atau 20 peratus daripada 20 individu tersebut menghasilkan antibodi peneutralan selepas tempoh 12 hari yang dianggap penting untuk perlindungan terhadap Covid-19.

Artikel Berkaitan:

“Walaupun tempoh perlindungan suntikan dos pertama masih tidak diketahui, namun tempoh 12 hari ini telah memberi peluang kepada kita untuk memahami tindak balas imun bagi melindungi daripada jangkitan Covid-19,” ujarnya.

Sebelum ini, data klinikal daripada ujian antarabangsa Pfizer-BioNTech yang dilakukan ke atas 44,000 sukarelawan juga menunjukkan kes jangkitan dalam kumpulan yang telah divaksin berkurangan pada tempoh 10 hingga 12 hari selepas suntikan dos pertama. - Agensi