Kelantan United bawa pulang tiga mata berharga

Mohamad Amirul Shafik (tengah) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukannya ketika aksi menentang PDRM FC di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu pada petang Rabu.
Mohamad Amirul Shafik (tengah) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukannya ketika aksi menentang PDRM FC di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu pada petang Rabu.
A
A
A

BARISAN pemain Kelantan United FC mengotakan janji mereka untuk bangkit apabila menewaskan PDRM FC 2-0 dalam aksi Liga Premier di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu petang tadi.

Beraksi di laman sendiri, Kelantan United yang turun dengan misi memburu tiga mata meraih gol pertama menerusi Mohamad Amirul Syafik Che Soh seawal minit ketiga selepas dia bijak meloloskan diri daripada kawalan pertahanan pelawat.

Tiga minit berselang, PDRM FC hampir menyamakan kedudukan menerusi percubaan Muhammad Amirul Wa'ie Ya'acob, namun penjaga gawang Kelantan United, Mohammad Fikri Che Soh tenang menyelamatkan gawangnya.

Tidak lama kemudian, giliran penjaga gol PDRM FC, Muhd Asri Muhamad memperagakan ketangkasan apabila berjaya menyelamatkan rembatan kencang Muhammad Asraff Aliffuddin Yasin.

Ketumpulan penyudah menghantui kedua-dua pasukan apabila setiap peluang terhidang gagal diterjemahkan dalam bentuk jaringan dan keputusan 1-0 itu kekal sehingga tamat babak pertama.

Bersambung babak kedua, Gassama Alfusainey melepaskan peluang terbaik untuk menambah jaringan Kelantan United apabila sentuhan menerusi gaya ‘bicycle kick’ sekadar singgah di palang gol PDRM FC pada minit ke-53.

Lima minit berselang, sepakan percuma penyerang import PDRM FC, Lazarus Kaimbi pula menggegar tiang gol sebelah kiri Kelantan United, sekali gus mengecewakan pasukan pelawat.

Shuhei Fukai kembali menceriakan Kelantan United apabila rembatan padu dari dalam kotak penalti menghasilkan gol kedua buat pasukan tuan rumah pada minit ke-63.

Artikel Berkaitan:

Rembatan itu berpunca dari tendangan sudut ketua pasukan, Mohd Badhri Mohd Radzi yang cuba ditanduk keluar pemain lawan. Namun, bola berjaya dirampas Fukai yang kemudian tenang melepaskan rembatan padu melepasi jangkauan Muhd Asri.

Pada penghujung perlawanan, Fakhrul Zaman Wan Abdullah Zawawi terlepas peluang menambah jaringan ketiga KUFC apabila sepakan percumanya berjaya ditepis keluar Muhd Asri.