X

Kindly register in order to view this article
!

Sektor pembinaan kurang pekerja, rakyat tempatan perlu rebut peluang

Gambar hiasan.
A
A

KUALA LUMPUR - Rakyat Malaysia perlu mengambil peluang untuk bekerja di dalam sektor pembinaan yang kini mengalami masalah kekurangan pekerja yang ketara akibat pandemik Covid-19.

Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, kementeriannya melalui Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), ada menyediakan kursus latihan bagi individu yang hilang pekerjaan akibat Covid-19 dan berminat bekerja di dalam sektor itu.

“Sesiapa yang hilang pekerjaan kita jemput untuk ikuti latihan di CIDB, supaya mereka boleh menjadi pekerja yang mahir sama ada bagi bidang pengurusan trafik, keselamatan dan kesihatan di kawasan pembinaan.

“Bagaimanapun kekurangan yang ketara adalah bagi bidang pekerja tidak terlatih atau ‘pekerjaan 3D’ iaitu kotor, bahaya dan sukar, di mana pekerja tempatan tidak berminat untuk melakukan kerja-kerja ini,” katanya pada media selepas majlis penyerahan Surat Setuju Terima pembangunan infrastruktur dan prasarana bagi empat projek di bawah Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pendidikan Tinggi kepada kontraktor terpilih.

Mengulas mengenai penularan Covid-19 di tapak-tapak pembinaan, Fadillah berkata, pihaknya telah melakukan perbincangan dengan CIDB, pemain industri, Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan berhubung perkara berkenaan.

Katanya, pemain industri telah memberikan komitmen penuh bagi memastikan penularan Covid-19 di kawasan pembinaan dapat di atasi dengan pematuhan terhadap Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446).

“Satu taklimat telah diadakan pagi tadi (Rabu) dan kita telah mendapat kata sepakat dan komitmen penuh daripada kementerian, agensi dan pemain industri, untuk mengatasi masalah penularan Covid-19 di kawasan pembinaan terutamanya melibatkan kediaman pekerja,” katanya.

Pada majlis berkenaan, Fadillah menyerahkan Surat Setuju Terima kepada kontraktor bagi projek pembinaan dan penyiapan Hospital Pengajar dan Pusat Kesihatan Prima Universiti Malaysia Sarawak, pembinaan Kompleks Sukan Kampus Gong Badak di Universiti Sultan Zainal Abidin, pembinaan Pusat Islam dan Pembangunan Insan dan Masjid di Universiti Malaysia Pahang, dan pembinaan blok baru bagi kelas pendidikan khas di Sekolah Menengah Mutiara, Kuala Lumpur.

Katanya, pihaknya komited dalam memastikan semua projek yang diluluskan dalam Belanjawan 2020 dan Belanjawan 2021 dapat dilaksanakan dengan segera.

“Dengan perlaksanaan projek-projek bernilai kira-kira RM500 juta ini diharap ia akan dapat memberi limpahan ekonomi kepada penduduk tempatan dan sektor-sektor berkaitan yang sekaligus dapat memacu kembali ekonomi,” katanya. - Bernama


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!