Perak FC II tumbang di laman sendiri

Perak FC II
Perak FC II
A
A
A

PERAK FC II terpaksa akur dengan penguasaan Sarawak United FC apabila tewas 0-3 di laman sendiri di Stadium Perak, di sini, pada Rabu.

Perlawanan pada babak pertama menyaksikan pasukan Sarawak United FC mendominasi permainan dengan beberapa peluang menerusi serangan ke kubu tuan rumah.

Pemain Perak FC II terpaksa berkampung di kubu sendiri bagi menyerap asakan pemain Sarawak United menerusi penyerang mereka yang diketuai Norshahrul Idlan Talaha.

Kad kuning pertama perlawanan dilayangkan kepada pemain Sarawak United FC, Muhammad Zahril Azri Zabri pada minit ke-28 kerana mengasari pemain tengah Perak FC II, Khairul Syafiq Mustaffa.

Peluang Perak FC II hanya singgah pada minit ke-29 menerusi sepakan percubaan oleh Muhamad Alif Zikri Zaini Anuar berhampiran kotak penalti namun sedikit tersasar di sebelah kanan pintu gol Sarawak United FC.

Penyerang Sarawak United FC, Norshahrul memperoleh peluang terbaik pada minit ke-35 namun rembatan ke arah gawang Perak FC II dinafikan penjaga gol tuan rumah, Muhammad Farhan Abdul Majid.

Serangan bertali arus pasukan pelawat akhirnya membuahkan hasil apabila mereka berjaya mendahului perlawanan dengan 1 gol menerusi rembatan penyerang sensasi mereka, Norshahrul.

Sebelum tamat babak pertama, kad kuning dilayangkan oleh pengadil perlawanan, Mohammad Zamzaidi Katimin kepada Kapten Pasukan Perak FC II, Izaaq Izhan Yuswardi kerana kekasaran ke atas pemain lawan.

Artikel Berkaitan:

Bersambung babak kedua perlawanan menyaksikan Perak FC II membuat tiga pertukaran serentak oleh Ketua Jurulatih, Syamsul Mohd Saad bagi menyusun strategi baharu.

Sarawak United FC yang dibarisi pemain bintang meneruskan penguasaan pada awal permainan separuh masa kedua dengan membuat beberapa percubaan ke ke kubu Perak FC II.

Pada minit ke-56 Sarawak United FC pula membuat dua pertukaran pemain dengan mengeluarkan Abdul Rahim Abdul Razak dan Muhammad Gopi Rizqi Ramachandra diganti oleh Sandro da Silva bersama Nur Shamie Iszuan Amin.

Perak FC II hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-62 menerusi sepakan percuma Sergio Fabian Aguero namun tendangannya sekadang menggegar palang gol Sarawak United FC.

Anak buah E Elavarasan itu kemudian memperoleh peluang menambah jaringan, bagaimanapun hantaran Norshahrul gagal dimanfaatkan Changhoon Lee yang merembat melepasi palang gol.

Sementara itu, Sarawak United FC dihadiahkan sepakan penalti selepas pemain mereka dijatuhkan di dalam kotak penalti dan berjaya disudahkan pemain import mereka, Uche Agba, sekali gus mendahului perlawanan dengan 2-0.

Ketika perlawanan berbaki kurang 10 minit, Sarawak United FC terpaksa bermain dengan 10 pemain apabila Muhammad Zahril menerima kad merah selepas mengutip dua kad kuning.

Keadaan itu bagaimanapun tidak menghalang pasukan pelawat melebarkan jurang jaringan apabila Uche Agba menjaringkan gol keduanya menewaskan benteng pertahan Perak FC II menjadikan kedudukan 3-0.

Tamat perlawanan Perak FC II yang dibarisi pemain muda terpaksa berpuas hati dengan kekalahan pertama mereka selepas menang pada perlawanan pembukaan liga dengan Kelantan FC minggu lalu.