KPWKM lancar Pelan Strategik KPWKM 2021-2025

Rina Mohd Harun
Rina Mohd Harun
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) pada Rabu melancarkan Pelan Strategik KPWKM 2021-2025 yang mengandungi lapan teras utama termasuk untuk memperkasa wanita dan memperkukuh institusi keluarga.

Teras lain dalam pelan yang dilancarkan Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd Harun itu adalah melindungi dan membangun kanak-kanak memantapkan persekitaran dan kondusif warga emas, memperkasa orang kurang upaya (OKU), meningkatkan kemandirian kumpulan khusus, meningkatkan keterlihatan negara di peringkat antarabangsa dan meningkatkan kecekapan serta keberkesanan penyampaian perkhidmatan.

“Pelan strategik ini akan menjadi rujukan utama bagi menetapkan hala tuju perkhidmatan yang disediakan oleh KPWKM dalam setiap penggubalan dasar, pembangunan pelan dan perancangan program serta aktiviti untuk rakyat,” menurut kenyataan KPWKM dikeluarkan pada Rabu sempena Setahun Malaysia Prihatin.

KPWKM berkata, hampir 3,300 warga kerja Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah digerakkan bagi mengagihkan satu juta bakul makanan di seluruh negara yang memberi manfaat kepada lebih empat juta orang yang terkesan akibat penularan Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurutnya, mereka juga komited untuk terus membantu golongan yang amat memerlukan, serta akan mengambil tindakan proaktif dan agresif untuk mendayaupayakan penerima bantuan kewangan supaya dapat dikeluarkan daripada kemiskinan yang seterusnya meningkatkan keberkesanan bantuan kerajaan.

Katanya, pendekatan merakyatkan perkhidmatan turut diaplikasikan melalui Program Kembara Prihatin Negara (KPN) dengan sebanyak 789 program telah dilaksanakan JKM di 124 daerah, melibatkan pelbagai agensi kerajaan, 145 badan bukan kerajaan (NGO), 57 entiti sektor korporat dan 1,767 sukarelawan sehingga 8 Mac lalu.

Tambahnya, program KPN itu telah menguruskan 10,605 aduan dan memberikan manfaat kepada 141,159 pelanggannya. - Bernama

Artikel Berkaitan: