X

Kindly register in order to view this article
!

PKPD di Flat Sibu Jaya tamat esok

Ismail Sabri
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Flat Sibu Jaya Blok C, H, J, K, L, N dan R di Sibu, Sarawak akan ditamatkan esok (Khamis) mengikut jadual, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan baki kes aktif di lokaliti berkenaan menunjukkan trend penurunan, terkawal serta tiada lagi sampel saringan yang sedang menunggu keputusan.

“Sehingga kini, KKM telah melaksanakan 6,875 ujian saringan dan daripada jumlah itu, secara kumulatif sebanyak 390 kes telah dilaporkan,” katanya dalam kenyataan berhubung PKP Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP) pada Rabu.

Sementara itu, beliau berkata, seramai 451 individu ditahan semalam atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP), dengan 393 dikompaun manakala 58 lagi direman.

Kesalahan direkodkan ialah gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (129), aktiviti pusat hiburan (82), tiada penjarakan fizikal (79), aktiviti pelacuran (75), rentas daerah/negeri tanpa kebenaran (28), tidak memakai pelitup muka (49) dan premis beroperasi lebih masa/tanpa kebenaran (sembilan).

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, 24 pendatang tanpa izin ditahan manakala enam kenderan darat dirampas dalam Operasi Benteng semalam.

"Dalam operasi itu, pihak berkuasa turut mengesan 103 buah bot/kapal di perairan negara melalui tujuh aktiviti penglihatan. Selain itu, lima orang pendatang tanpa izin turut diusir menerusi tiga aktiviti pengusiran," katanya.

Mengenai saringan wajib pekerja warga asing semalam, beliau berkata seramai 5,036 warga asing telah menjalani ujian saringan Covid-19 dan daripada jumlah itu, 88 orang didapati positif.

"Secara kumulatifnya, Kementerian Sumber Manusia memaklumkan seramai 598,790 pekerja warga asing telah menjalani ujian saringan Covid-19 yang melibatkan 31,275 majikan dan daripada jumlah itu, seramai 9,500 orang telah disahkan positif Covid-19 manakala 589,290 lagi adalah negatif," katanya.

Ismail Sabri berkata, semalam (Selasa) juga menyaksikan 788 individu tiba di semua pintu masuk antarabangsa dan kesemua mereka telah dikuarantin di stesen kuarantin di seluruh negara, yang membawa kepada kumulatif seramai 141,077 individu telah pulang sejak 24 Julai 2020.

Menurutnya, daripada jumlah itu, 7,300 individu telah dikuarantin dan 132,776 orang dibenarkan pulang manakala 1,001 lagi dibawa ke hospital. - Bernama


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!