Bomba Terengganu hadkan cuti anggota pantau pembakaran terbuka

Seorang anggota bomba sedang memadamkan kebakaran melibatkan tanah belukar di belakang Lapangan Terbang Sultan Mahmud pada Selasa.
Seorang anggota bomba sedang memadamkan kebakaran melibatkan tanah belukar di belakang Lapangan Terbang Sultan Mahmud pada Selasa.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu mengehadkan cuti anggota kepada 10 peratus dalam satu-satu masa bagi memastikan tenaga kerja sentiasa pada tahap optimum bagi memantau kes melibatkan pembakaran terbuka.

Pengarahnya, Md Hilman Abd Rashid berkata, seramai 833 pegawai dan anggota bomba di Terengganu ditugaskan untuk memantau pembakaran terbuka supaya tidak berlaku perebakan.

"Dari segi kekuatan logistik, semua jentera dan peralatan operasi pemadaman kebakaran terbuka seperti pam air di kawasan hutan juga telah diselenggara dan sedia digunakan pada bila-bila masa.

"Begitu juga dengan permohonan pesawat telah dibuat kepada Unit Udara Bomba ibu pejabat untuk menghadapi sebarang kemungkinan sekiranya berlaku pembakaran terbuka yang memerlukan kaedah pemadaman dari udara dilakukan," katanya.

Beliau berkata, jumlah kes membabitkan pembakaran terbuka di negeri ini menunjukkan peningkatan berbanding tempoh sama tahun lalu.

"Sebanyak 236 kes pembakaran terbuka direkodkan di Terengganu sejak 1 Januari hingga 8 Mac melibatkan 207 kes ialah kebakaran di kawasan belukar, kawasan sampah (13 kes), hutan (12 kes) dan empat kes melibatkan kebun dan ladang.

"Jumlah ini menunjukkan sedikit peningkatan berbanding 214 kes dalam tempoh yang sama tahun lalu, malah kita jangka ia akan terus meningkat sehingga akhir bulan ini disebabkan semakin ramai penduduk membuat pelbagai aktiviti di luar rumah termasuk membersihkan kebun dan ladang mereka," katanya kepada pemberita pada Rabu.

Dalam pada itu, Md Hilman berkata, tindakan mereka yang hanya membiarkan pembakaran tanpa sebarang pengawasan menyebabkan api terus merebak ke kawasan lain dengan skala yang lebih besar, sekali gus memburukkan keadaan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu katanya, sebanyak 992 kes pembakaran terbuka dilaporkan berlaku di Terengganu sepanjang tahun lalu iaitu 820 kes kebakaran belukar, 82 (hutan), 72 (sampah) dan 18 kes melibatkan kebun dan ladang.