Lawatan PM ke Arab Saudi perkukuh hubungan KL-Riyadh

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menghadap Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed Salman Abdulaziz Al-Saud di Istana Yamamah Riyadh pada Selasa. - Foto Bernama
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menghadap Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed Salman Abdulaziz Al-Saud di Istana Yamamah Riyadh pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kejayaan lawatan rasmi Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ke Arab Saudi yang berakhir pada Rabu membuktikan hubungan rapat dan kukuh terus terjalin antara Kuala Lumpur dan Riyadh.

Ketua Eksekutif Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS), Herizal Hazri berkata, antara hasil lawatan termasuk kejayaan mendapat kuota haji tambahan sebanyak 10,000 menunjukkan Arab Saudi mempunyai rasa hormat yang tinggi terhadap kerajaan dan umat Islam Malaysia.

“Tidak mudah untuk dapat tambahan kuota. Ia perlu melalui proses yang sangat sensitif kerana Arab Saudi adalah penjaga kota Makkah yang menjadi milik semua umat Islam di seluruh dunia.

“Pemberiaan kuota juga menunjukkan kebolehan serta reputasi kita mengurus jemaah haji dengan baik selama ini,” katanya ketika ditemu bual dalam Buletin Bernama di Bernama TV pada Rabu.

Dalam lawatan itu, Malaysia dan Arab Saudi juga memeterai memorandum persefahaman (MoU) untuk memudahkan proses prapelepasan jemaah haji dan umrah dari Malaysia.

Mengulas mengenai pembentukan Majlis Penyelarasan Arab Saudi-Malaysia, Herizal berkata, ia menunjukkan komitmen serius kedua-dua kerajaan untuk merapatkan hubungan bilateral serta memperluas bentuk kerjasama sedia ada.

“Jawatankuasa ini akan dapat mendorong idea-idea (kerjasama) berada di landasan yang betul. Jika terdapat kekangan, jawatankuasa ini tentu dapat menjadi pemudah cara antara kedua-dua negara,” katanya.

Herizal berkata dalam konteks hubungan Kuala Lumpur-Riyadh, kedua-dua negara boleh melihat bentuk kerjasama pasca-Covid-19 untuk menyelesaikan masalah ekonomi serta membangun semula industri terjejas seperti pelancongan dan pembuatan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, Malaysia dan Arab Saudi mempunyai beberapa mekanisme untuk menyelesaikan isu tersebut seperti pelaburan dalam bidang inovasi dan teknologi serta kerjasama dalam pembangunan vaksin.

Beliau berkata Malaysia mempunyai reputasi yang baik dalam aspek pensijilan halal dan penyelidikan melalui Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) serta standard yang tinggi dalam mengawal selia pandemik Covid-19 dalam negara.

Herizal berkata Malaysia dan Arab Saudi juga boleh meningkatkan kerjasama pendidikan sains dan teknologi dalam usaha membangun semula reputasi agama Islam yang selama ini mempunyai tradisi yang kuat dalam bidang itu.

Perbincangan antara Muhyiddin dan Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed Salman Abdulaziz Al-Saud yang juga Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan pada hari terakhir lawatan turut menyentuh mengenai ekonomi, pertahanan, pendidikan, jaminan makanan, perdagangan dan pelaburan. - Bernama