X

Kindly register in order to view this article
!

903 warga emas di Pahang terima vaksin April ini

Wan Rosdy (tengah) ketika berucap pada majlis penyampaian replika cek Program Bantuan Awal Pendidikan 2021 di Wisma Sri Pahang pada Rabu.
A
A

KUANTAN - Seramai 903 warga emas berusia 60 tahun ke atas yang menetap di pusat jagaan warga emas dan pondok di Pahang akan menerima suntikan vaksin bagi fasa kedua, April depan.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, keputusan itu dibuat kerana warga emas adalah golongan berisiko tinggi untuk mendapat komplikasi teruk atau menjadi penyebab kematian akibat jangkitan Covid-19.

"Kita harapkan program imunisasi Covid-19 dapat melindungi warga emas daripada penularan jangkitan dalam kalangan golongan ini.

"Jadi, sebab itu kita berikan keutamaan kepada mereka (golongan warga emas, orang kurang upaya dan kumpulan berisiko yang menghidap penyakit kronik) pada fasa kedua," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis penyampaian replika cek Program Bantuan Awal Pendidikan 2021 di Wisma Sri Pahang pada Rabu.

Berdasarkan data Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), seramai 728 warga emas berada di bawah seliaan JKM manakala 175 lagi dikendalikan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP).

Wan Rosdy berkata, kerajaan Pahang menyasarkan 1.12 juta rakyat di negeri ini untuk diberi vaksin Covid-19 yang akan dilaksanakan secara berperingkat mengikut kumpulan sasar.

"Pada Fasa 1, imunisasi akan diberikan kepada petugas barisan hadapan, diikuti Fasa 2 membabitkan golongan warga emas manakala pada Fasa 3 membabitkan semua individu berumur 18 tahun ke atas," katanya.

Mengulas bantuan awal persekolahan itu, Wan Rosdy berkata, seramai 25,730 murid Tahun Satu akan menerima wang tunai RM100 setiap seorang dan mengharapkan bantuan yang disalurkan itu dapat meringankan beban ibu bapa membeli kelengkapan persekolahan bagi anak-anak mereka.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!