Mapim jenamakan Kedah sebagai negeri kesukarelawanan

Mohd Azmi (dua, kiri) selepas melancarkan penubuhan Sukarelawan Darul Aman (SDA) pada Sabtu.
Mohd Azmi (dua, kiri) selepas melancarkan penubuhan Sukarelawan Darul Aman (SDA) pada Sabtu.
A
A
A

ALOR SETAR - Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menubuhkan jaringan Sukarelawan Darul Aman (SDA) dalam usaha menyuburkan budaya kesukarelawanan dalam kalangan rakyat Kedah secara tersusun dan terlatih.

Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, pihaknya berhasrat menjenamakan Kedah sebagai negeri kesukarelawanan dengan bercirikan budaya hidup sukarelawan yang tinggi dalam kalangan masyarakat.

Menurutnya, gerak kerja SDA termasuk mengadakan persidangan NGO, penubuhan kluster, operasi di lapangan, merekodkan data masyarakat, latihan sukarelawan berkala serta mewujudkan Pusat Khidmat SDA.

“Sasaran awal adalah mewujudkan 1,000 SDA yang akan menjadi penggerak di pelbagai bidang dalam masyarakat, dengan keutamaan dalam sektor pendidikan, kesihatan, penjagaan alam sekitar serta kebajikan,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Mohd Azmi berkata, budaya kesukarelawanan perlu dikembangkan sebagai budaya hidup yang aktif agar masyarakat tidak terlalu bergantung kepada kerajaan dalam arus pembangunan.

“Kesukarelawanan adalah budaya murni yang perlu dipupuk dalam budaya hidup masyarakat. Khidmat seperti menjaga kebersihan, memulihara alam sekitar, membantu golongan miskin, mendidik generasi muda, membantu pelajar tercicir, membangunkan persekitaran dan prasarana asas yang lestari, memerlukan penglibatan masyarakat,” katanya.

Menurutnya, bagaimanapun budaya sukarelawan perlu dibentuk dan dikembangkan secara profesional supaya lebih berkesan dan berdisiplin.

“Sukarelawan berdisiplin, komited, mahir dan berdedikasi amat diperlukan. Kami ingin jadikan sifat kesukarelawan sebagai sumbangan dalam masyarakat Kedah.

Artikel Berkaitan:

"Matlamat SDA adalah mewujudkan wadah untuk membangun dan mengembleng sumber daya masyarakat untuk mengukuhkan budaya hidup berdikari,” katanya.

Tambah Mohd Azmi, masyarakat yang berdikari kelak akan kurang bergantung kepada kerajaan dalam pelbagai fungsi masyarakat.

“SDA berteraskan prinsip kerjasama dan hidup saling melengkapi antara satu sama lain. Masyarakat terdiri daripada pelbagai warga mahir dan berpengalaman perlu dimanfaatkan untuk majukan Kedah,” katanya.

Menurutnya, SDA melibatkan pelbagai pihak antaranya, ketua masyarakat, pesara birokrat, pesara keselamatan, perubatan, mahasiswa, usahawan, budayawan, pakar undang-undang, ahli teknokrat serta penggerak institusi.

“Sasaran kawasan adalah di daerah Sik, Padang Terap, Baling, Yan dan Bandar Baharu. Kawasan terpilih ini akan mengumpulkan sukarelawan untuk merancang gerak kerja berterusan untuk meningkatkan kualiti hidup masyarakat B40,” katanya.

Mohd Azmi berkata, SDA akan bekerjasama dengan agensi kerajaan dan sektor korporat untuk menjadikan inisiatif ini lebih berkesan.

“Antara penekanan utama adalah untuk meningkatkan kualiti hidup. Kesan daripada pandemik Covid-19 menyebabkan kesempitan hidup dan masyarakat perlu dibantu untuk bangkit semula,” katanya.

Menurutnya, antara pengisian termasuk seminar Gagasan Darul Aman dan ‘Kedah Bangkit Pasca Covid-19’ selain menganjurkan persidangan perundingan NGO Kedah bertemakan ‘Pemerkasaan Gerakan Kesukarelawan Masyarakat Darul Aman’.