Polis rakam percakapan Fahmi Reza berhubung karikatur

PDRM
PDRM
A
A
A

PUTRAJAYA - Polis pada Rabu merakam percakapan pereka grafik, Mohd Fahmi Reza Mohd Zarin di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya di sini berhubung penyiaran dua karikaturnya di laman Twitter @kuasasiswa.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Mohd Fadzil Ali yang mengesahkan perkara itu kepada media berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKMM) 1998.

Mohd Fahmi Reza ketika ditemui media di luar IPD Putrajaya selepas dua jam dirakam percakapan berkata, siasatan dijalankan berhubung dua siaran karikaturnya yang bertarikh 3 Oktober tahun lepas dan 15 Februari lalu.

"Saya di sini untuk terangkan kepada polis yang nak tau maksud karya, apa tujuannya, kepada siapa ia ditujukan, dan soalan-soalan lain," katanya, sambil menambah beliau tidak akan menurunkan hantaran kedua-dua karya berkenaan serta akan terus berkarya.

Mohd Fahmi Reza yang hadir bersama dua peguamnya, Yohendra Nadarajan dan Rajsurian Pillai berkata, beliau sedia untuk memberi kerjasama penuh kepada pihak polis dan akan hadir jika dipanggil semula. - Bernama

Artikel Berkaitan: