Pasangan warga emas melecur cuba selamatkan haiwan ternakan

Sebuah kandang musnah 90 peratus akibat terbakar di di Jalan Kampung Permatan Durian, Padang Serai pada awal pagi Rabu.
Sebuah kandang musnah 90 peratus akibat terbakar di di Jalan Kampung Permatan Durian, Padang Serai pada awal pagi Rabu.
A
A
A

KULIM - Sepasang suami isteri warga emas melecur di bahagian badan ketika cuba menyelamatkan haiwan ternakan mereka dalam kebakaran di sebuah kandang ternakan di Kampung Permatang Durian, Padang Serai, pada Rabu.

Dalam kejadian jam 5.45 pagi itu, sebanyak 80 haiwan ternakan iaitu 30 kambing dan 50 ayam pasangan suami isteri tersebut tidak sempat diselamatkan dan rentung dalam kebakaran terbabit.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melibatkan kebakaran kandang kambing dan ayam lebih kurang jam 5.52 pagi.

"Sepasukan 11 anggota bomba Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulim Hi Tech diketuai Pegawai Operasi, Pegawai Bomba Kanan 11, Puat Ghazali dikejarkan ke lokasi kejadian dengan dua jentera bagi melakukan operasi memadam kebakaran.

"Setibanya di lokasi kejadian, pihak kami mendapati kebakaran melibatkan sebuah kandang kambing dan ayam kelas C yang memiliki keluasan lebih kurang 12 x 15 meter," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Mengulas lanjut, Mohamadul Ehsan berkata, kebakaran terbabit telah mengakibatkan kemusnahan kandang sebanyak 90 peratus dengan 30 kambing dan 50 ayam rentung.

Menurutnya, seorang lelaki warga emas dipercayai pemilik kandang berusia 70 tahun mengalami cedera ringan dengan melecur pada bahagian tangan kanan manakala isterinya yang berusia 63 tahun pada bahagian bahu.

Katanya, anggota bomba dari BBP Kulim Hi-Tech memadam kebakaran menggunakan air dari dua jentera berkenaan dan api berjaya dikawal pada jam 6.17 pagi.

Artikel Berkaitan:

"Operasi pemadaman turut dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Lunas dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) manakala punca dan kerugian akibat kebakaran ini masih dalam siasatan," katanya.