Fikir kesusahan rakyat sebelum ambil tindakan

Ismail Kassim
Ismail Kassim
A
A
A

KANGAR - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tambun Tulang, Datuk Ismail Kassim memohon agensi kerajaan di Perlis menguatkuasakan undang-undang dan tindakan secara berhemah dan berhikmah agar rakyat tidak tertekan selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilakukan sebanyak dua kali sebelum ini.

Menurutnya, beliau dihujani rungutan rakyat yang kesal dan tertekan selepas tindakan diambil terhadap mereka oleh pihak berkuasa kerana tidak memberikan amaran terlebih dahulu ataupun memberikan pertimbangan sewajarnya.

"Sebenarnya perkara ini juga berlaku di banyak tempat di negara ini. Di Perlis ada yang mengadu tindakan terus diambil terhadap mereka. Kita tidak melarang penguatkuasaan undang-undang ini tetapi seharusnya perlulah dilakukan secara berhikmah.

"Kena faham rakyat baharu sahaja nak memulakan kembali fasa kehidupan selepas PKP 2.0 tamat. Ada yang bekerja sendiri dan sudah tentu perit untuk mereka bermula semula seperti berniaga," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.

Mengulas lanjut, Ismail berkata, antara keluhan yang diterima pihaknya adalah daripada pengusaha kedai kosmetik apabila rampasan yang dilakukan agensi kerajaan berkaitan memberi kesan besar kepada mereka.

ARTIKEL BERKAITAN: YB Ismail Kasim yang tidak pernah kenal putus asa

"Ada pengusaha kosmetik tidak tahu produk ubat-ubatan dan kosmetik itu tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan sepatutnya yang diserbu adalah pengusaha ataupun pengeluar produk itu," katanya.

Jelasnya, amaran awal perlu dikeluarkan terlebih dahulu dan sekiranya kesalahan sama berulang barulah tindakan diambil.

Artikel Berkaitan:

"Ini baru satu contoh agensi. Saya juga menerima rungutan rakyat terhadap agensi-agensi kerajaan yang lain. Saya berharap perkara ini diberikan perhatian yang serius oleh kerajaan.

"Malah saya juga berhasrat membawa isu ini untuk dibahaskan di Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis nanti," katanya.