Safian kuasai lima peratus kepentingan dalam Datasonic

No Image Caption
A
A
A

PENGARAH Silih Ganti Datasonic Group Bhd, Safian Mohd. Yunus telah muncul sebagai antara pemegang saham terbesar syarikat itu setelah memperoleh 30 juta saham menerusi syarikat Hallmark Epitome Sdn. Bhd.

Datasonic dalam makluman kepada Bursa Malaysia memberitahu, pembelian saham secara transaksi perniagaan langsung itu menjadikan Safian memiliki 142.5 juta saham atau 5.43 peratus kepentingan dalam syarikat teknologi berkenaan.

Pemerolehan saham itu hadir beberapa hari selepas Datasonic mengumumkan menandatangani perjanjian kerjasama dengan syarikat Vietnam, Pham Gia Ecocon Plus Vietnam Co. Ltd. bagi projek e-pasport serta pelbagai projek teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) di Vietnam, Rabu lalu.

Datasonic juga telah memperoleh kontrak bernilai RM4.33 juta daripada Kementerian Dalam Negeri bagi perkhidmatan penyelenggaraan menyeluruh peralatan, perisian dan aplikasi sistem tangkapan wajah langsung di semua pejabat Jabatan Imigresen Malaysia, bulan lalu.

Berdasarkan maklumat dalam Bursa Malaysia, Safian, 45, telah dilantik sebagai Pengarah Silih Ganti Bukan Bebas Bukan Eksekutif Datasonic pada 24 Februari lalu.

Beliau memulakan karier sebagai Jurutera Pembangunan dengan Team Partner Group di Perancis pada tahun 2000 sebelum menyertai Ivoli Sdn. Bhd. sebagai Konsultan Teknologi di mana beliau bertanggungjawab memimpin pelaksanaan projek-projek utama di samping operasi dan penyelenggaraan rangkaian untuk syarikat antarabangsa serta tempatan.

Penglibatannya dalam merancang aktiviti migrasi rangkaian TPMNet juga telah memberikan Safian kemahiran dan pengalaman bekerja dalam persekitaran bertekanan tinggi sejak awal kerjayanya.

Pada tahun 2012, Safian telah menjadi Pengarah Eksekutif di Ridds and Partner Sdn. Bhd. iaitu sebuah syarikat perunding perniagaan yang ditubuhkannya untuk menyediakan khidmat nasihat perniagaan korporat dan strategik yang memberi tumpuan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Artikel Berkaitan:

Dengan kepakaran dan kepintaran perniagaannya, Safian kemudiannya menyertai Jasamerin Energy Ventures Sdn. Bhd. iaitu anak syarikat diperbadankan oleh Marine and General Berhad pada tahun 2017 sebagai Pengarah Pembangunan Perniagaan.