X

Kindly register in order to view this article
!

BAT Malaysia dipilih Majikan Terbaik tahun ketiga berturut-turut

Pengarah Urusan BAT Malaysia, Jonathan Reed
A
A

KUALA LUMPUR - British American Tobacco Malaysia Berhad (BAT Malaysia) telah diiktiraf sebagai Majikan Terbaik 2021 untuk tahun ketiga berturut-turut.

Anugerah Majikan Terbaik mengiktiraf dedikasi yang ditunjukkan oleh sesebuah organisasi untuk menyediakan amalan pekerjaan terbaik dalam kalangan syarikat setarafnya.

BAT Malaysia dalam kenyataan pada Rabu berkata, amalan cemerlang tersebut membolehkan kakitangan mengejar kemajuan diri secara peribadi dan profesional, sambil memastikan perniagaan mencapai keputusan cemerlang.

Menurut kenyataan itu, anugerah berkenaan turut mengiktiraf tumpuan BAT Malaysia untuk menerapkan budaya kakitangan yang gigih berusaha demi mencapai matlamat kami membina Hari Esok Lebih Baik (Better TomorrowTM).

"Kejayaan ini turut menyerlahkan kewibawaan BAT Malaysia sebagai sebuah syarikat yang memupuk budaya terpelbagai dan terangkum, dengan kakitangan yang memimpin dan mendorong satu sama lain dengan menzahirkan etos atau keperibadian syarikat, iaitu berani, bertanggungjawab, pantas, perkasa dan pelbagai," kata kenyataan itu.

Sementara itu, Pengarah Urusan BAT Malaysia, Jonathan Reed berkata, mereka amat berbangga dipilih sebagai Majikan Terbaik buat tahun ketiga berturut-turut, sekali gus membuktikan amalan tadbir urus kakitangan terbaik mereka dalam kalangan syarikat setaraf.

Antaranya kata Reed, termasuk ganjaran organisasi, program pembangunan bakat dan usaha mewujudkan persekitaran yang selamat dan mendorong penglibatan kakitangan dalam keadaan masa kini yang mencabar.

Katanya, semua ini penting sambil kita membawa organisasi ke arah Hari Esok Lebih Baik dan pencapaian itu membuktikan usaha mereka untuk membina perniagaan lebih teguh, ringkas dan pantas yang mencerminkan etos syarikat.

"Etos kami, yang dirangka terutamanya berasaskan maklum balas kakitangan kami, ialah pegangan teras yang menjadi pedoman dalam segala yang kami lakukan dan cara kami melakukannya.

"Kami percaya etos ini memperkasakan kakitangan kami, mewujudkan tempat kerja yang ceria dan membawa manfaat kepada kakitangan dan mendorong penciptaan nilai mampan dalam jangka panjang," katanya.

Reed menambah, pengiktirafan ini amat penting khususnya pada masa-masa yang sukar ini.

"Bakat ialah aset kami yang paling penting. Oleh yang demikian, kami perlu kreatif dan menyesuaikan diri untuk memastikan pasukan kerja kami terus terhubung dan memainkan peranan walaupun dalam pandemik global.”

Katanya, memandangkan kerja dari rumah akan dilaksanakan untuk sebahagian besar daripada tahun ini, BAT Malaysia perlu beralih dan menyesuaikan diri kepada norma baharu dengan memanfaatkan alat digital dan maya untuk memastikan seluruh tenaga kerja terus terhubung, terlibat dan bermotivasi.

"Sebagai sebahagian daripada usaha menangani pandemik Covid-19 dan menyedari bahawa kesejahteraan mental sama penting seperti kesihatan, BAT Malaysia juga memperkenalkan program kesejahteraan baharu yang dinamakan We Care untuk membolehkan kakitangan mendapatkan pelbagai perkhidmatan berkaitan kesihatan, termasuk pakar fisiologi, pakar diet dan jurulatih kecergasan," katanya.

Beliau berkata, BAT Malaysia tetap komited terhadap usaha mempercepatkan pembangunan kakitangan.

"Sebagai sebahagian daripada bidang tumpuan ini, BAT Malaysia akan terus menganjurkan program pembangunan seperti program Akademi Pembangunan (program latihan intensif 12 bulan untuk kakitangan perkhidmatan lapangan), Akademi Graduan Global (program latihan 12 bulan bagi graduan baharu), dan melaksanakan program pembangunan bakat baharu untuk menggalakkan amalan kepimpinan di seluruh organisasi," katanya.

Anugerah Majikan Terbaik ini merupakan pencapaian terbaharu dalam pelbagai anugerah lain yang kami terima termasuk Anugerah Kehidupan Di Tempat Kerja 2019 bagi Organisasi Antarabangsa dan Amalan Cemerlang Terbaik – Inisiatif bagi Wanita di Tempat Kerja.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!