Kosongkan kerusi dulu jika mahu lompat parti

Zamir Ghazali
Zamir Ghazali
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Mana-mana ahli politik yang mengambil keputusan untuk lompat parti wajar mengosongkan kerusi mereka terlebih dahulu demi menghormati mandat yang diberikan rakyat atas tiket parti yang ditandingi.

Ketua Pemuda Amanah Terengganu, Zamir Ghazali berkata, tindakan melompat parti sudah menjadi trend sejak 20 tahun lalu di negara ini.

Katanya, tindakan lompat parti kebiasaannya melibatkan ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang kepada parti pemerintah dengan pelbagai alasan untuk membenarkan tindakan terbabit.

"Tindakan lompat parti bukan perkara asing dalam politik Malaysia. Banyak pandangan timbul dalam soal ini di mana sebahagian mereka menentang, manakala sebahagian lain menerima ia sebagai tindakan terpuji.

"Dalam tempoh 20 tahun kebelakangan ini, tindakan lompat parti telah menyebabkan runtuhnya kerajaan sebanyak dua kali, iaitu pada 2009 melibatkan kerajaan Pakatan Rakyat Perak, apabila dua ADUN Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan seorang ADUN DAP melompat parti.

"Terbaharu pada 2020 apabila runtuhnya kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang mentadbir Putrajaya, setelah berlaku pengkhianatan dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan beberapa ahli Parlimen PKR," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Bagaimanapun, katanya, sehingga kini tiada tindakan kepada mana-mana wakil rakyat yang melompat parti, sama ada di peringkat DUN ataupun Parlimen.

Tambah Zamir, keadaan itu menyebabkan tindakan lompat parti lebih mudah dan bebas dilakukan oleh mana-mana ahli politik.

Artikel Berkaitan:

"Wakil rakyat yang lompat sepenuhnya akan mendapat laba atau keuntungan daripada tindakan khianat terbabit.

"Kesannya, pengundi akan rasa dikhianati dan hilang kepercayaan terhadap demokrasi, malah parti terlibat juga akan berdepan masalah kesan tindakan terbabit.

"Sepatutnya jika wakil rakyat ingin melompat parti, adalah wajar untuk mereka mengosongkan kerusi demi hormati mandat yang diberi kepadanya atas tiket parti yang ditandingi," katanya.

Dalam pada itu, Zamir berkata, negara mengamalkan demokrasi matang seperti United Kingdom (UK) dan negara yang disebut bagi menjustifikasi amalan lompat parti, iaitu tiada undang-undang yang melarang lompat parti atau 'floor crossing' atau 'anti defection law' yang mempunyai mekanisme tersendiri.

"Misalnya pengundi di kawasan Parlimen jika tidak berpuas hati dengan peratusan pengundi tertentu boleh berkuasa untuk mengosongkan kerusi pemimpin yang dipilih.

"Namun, di negara berkenaan kebanyakan mereka sudah maju, ekonomi kukuh, tiada kesan sangat walaupun kerap berlaku pertukaran kerajaan dalam terma pemerintahan yang belum tamat misalnya di negara yang mana Parlimennya tiada majoriti dominan dan kerajaan dibentuk melalui pakatan parti berbeza," katanya.

Beliau berkata, berbeza di Malaysia di mana tiada mekanisme sedemikian malah pemimpin yang dipilih boleh secara budi bicaranya untuk berada di mana-mana pihak.

"Keadaan ini menyebabkan masalah di mana ketidakstabilan politik dan permainan politik yang tidak bermoral serta mungkin boleh dikira sebagai kesalahan jenayah dengan rasuah jawatan bagi mereka yang bertukar pihak," katanya.