X

Kindly register in order to view this article
!

Warga emas hilang ditemui mati tersangkut celah paip hospital

PDRM
A
A

GOMBAK - Seorang lelaki Orang Asli yang hilang ketika menerima rawatan di Hospital Selayang sejak 1 Mac lalu ditemui maut tersangkut pada paip di tingkat enam hospital itu pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, seorang juruteknik yang sedang bertugas menerima aduan daripada kakitangan hospital itu berhubung bau busuk di sebuah bilik pada jam 6.20 petang.

"Dia telah pergi memeriksa di bilik tersebut dan mendapati ada tangan terkulai. Dia kemudian naik ke tingkat enam dan menjumpai mayat lelaki di deretan paip tersebut," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Arifai berkata, juruteknik itu kemudian maklumkan kejadian tersebut kepada Unit Keselamatan Hospital dan seterusnya membuat laporan polis di Pondok Polis Hospital Selayang.

"Hasil siasatan, kita mendapati mayat tersebut adalah seorang pesakit lelaki yang ditahan di sebuah wad pada 1 Mac lalu dan pernah dilaporkan hilang pada 3 Mac," katanya.

Beliau berkata, anggota Bomba dan penyelamat telah hadir ke tempat kejadian bagi membantu mengeluarkan mayat warga emas itu yang tersepit di celah paip tersebut.

"Punca kematian masih dalam siasatan dan kita tidak menolak kemungkinan mangsa berusia 79 tahun itu terjatuh dari tingkat atas dan tersangkut di celah paip tempat kejadian," katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Selayang untuk bedah siasat bagi mengenalpasti punca kematian.

"Kes diklasifikasikan sebagai Mati Mengejut (SDR). Kita meminta kerjasama orang awam yang mempunyai sebarang maklumat kejadian tersebut menghubungi Pegawai Penyiasat Sarjan K Maheswaran di talian 03-61262222 atau 016-6722971," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!