Syarikat proses makanan didenda gagal jaga kebajikan pekerja

Syarikat berkenaan diwakili pengurus besar (kiri) didenda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen,di sini, pada Rabu berikutan gagal menjaga kebajikan pekerja mereka dengan baik pada Januari lalu.
Syarikat berkenaan diwakili pengurus besar (kiri) didenda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen,di sini, pada Rabu berikutan gagal menjaga kebajikan pekerja mereka dengan baik pada Januari lalu.
A
A
A

ALOR SETAR - Sebuah syarikat pemprosesan makanan didenda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen,di sini, pada Rabu berikutan gagal menjaga kebajikan pekerja mereka dengan baik pada Januari lalu.

Syarikat Twenty-Twenty Food Sdn. Bhd selaku orang kena saman (OKS) didakwa atas dua pertuduhan iaitu menyediakan asrama pekerja tanpa perakuan penginapan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) dan gagal menyediakan penginapan sesuai.

Dalam pertuduhan pertama, syarikat didakwa menempatkan salah seorang pekerja asing warganegara Indonesia, Nenni Juniarti Tanjung yang tidak diperakukan dengan perakuan penginapan daripada Ketua Pengarah Tenaga Kerja mengikut Seksyen 24D(1) Akta Standard Minimum Perumahan Dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446).

Kesalahan tersebut didakwa dilakukan lebih kurang jam 10.30 pagi pada 13 Januari lepas di sebuah premis di Jalan Kedundung dekat Pokok Sena.

Syarikat berkenaan didakwa melakukan kesalahan Seksyen 24D(3) Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan Dan Kemudahan Pekerja 1990 [Akta 446] yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 jika disabitkan dengan kesalahan itu.

Bagi pertuduhan kedua pula, syarikat itu didakwa gagal menyediakan penginapan mengikut kehendak minimum yang diperuntukkan di bawah subperaturan 3(1) Peraturan- peraturan Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja (Penginapan dan Penginapan Berpusat) 2020 (P.U.(A) 250/2020) iaitu untuk menyediakan bilik air dan tandas mengikut nisbah satu bilik air dan tandas untuk 15 pekerja (1:15) kepada 146 pekerjanya.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada waktu, tarikh dan lokasi sama.

Untuk kesalahan ini, pendakwaan dilakukan mengikut subperaturan 3(2) Peraturan-Peraturan yang sama yang boleh dihukum di bawah Seksyen 33 Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 dan didenda tidak melebihi RM1,000 sehari bagi setiap hari kesalahan itu berterusan.

Artikel Berkaitan:

Hakim, Sharifah Norazlita Syed Salim menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM10,000 bagi setiap pertuduhan berkenaan dan atau penjara lima bulan untuk setiap pertuduhan sekiranya gagal membayar denda itu.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa JTK, Norulaskin Mustafa manakala syarikat yang diwakili pengurus besar tidak diwakili peguam.

Syarikat terbabit memohon denda dikurangkan bagi membolehkan majikan tersebut membaiki asrama berkenaan mengikut peraturan ditetapkan Akta 446.

Bagaimanapun, Norulaskin memohon hukuman setimpal agar menjadi pengajaran kepada majikan lain untuk menjaga kebajikan pekerja mereka khususnya dalam mencegah penyebaran Covid-19.

Berdasarkan fakta kes, syarikat berkenaan didapati hanya menyediakan dua blok asrama berbentuk dorm yang memuatkan 150 pekerja dengan sebuah kemudahan tandas sahaja dalam satu serbuan dilakukan JTK Kedah.

Syarikat pemprosesan makanan tersebut juga tidak memohon perakuan penginapan pekerja mengikut syarat ditetapkan Akta 446.

Syarikat berkenaan membayar denda itu.