Tak sempat bertunang, pekerja syarikat penghantaran ditahan

No Image Caption
A
A
A

MELAKA - Seorang pekerja syarikat penghantaran ditahan bersama dadah dalam serbuan di sebuah rumah di Alai, Telok Mas, di sini pada awal pagi Rabu sebelum dia sempat bertunang sepatutnya berlangsung Sabtu ini.

Dalam serbuan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka lebih kurang jam 12.10 pagi itu turut menahan sepupunya yang disyaki terlibat kegiatan pengedaran dadah.

Ketua (JSJN) negeri, Superintendan Zulkiflee Rashid berkata, pemeriksaan dalam rumah lelaki berkenaan menjumpai 40 paket plastik lutsinar berisi ketulan mampat disyaki ganja keseluruhannya seberat 284 gram disembunyikan dalam stor dianggarkan bernilai RM800 mengikut harga pasaran semasa.

"Suspek yang memaklumkan dirinya akan bertunang pada Sabtu ini dipercayai aktif mengedar dadah di kawasan Alai dan Ujong Pasir.

"Suspek ditahan selepas polis membuat serbuan pertama berhampiran lif di sebuah kondominium di Ujong Pasir kira-kira jam 11 malam pada Isnin lalu, sebelum menahan suspek berusia 26 tahun. Dalam tangkapan ini, polis menemukan enam paket plastik kecil berisi daun kering disyaki ganja seberat 58 gram," katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Mengulas lanjut, hasil siasatan kemudian membawa kepada kes tangkapan kedua iaitu sepupu suspek dan polis turut menyita dua buah motosikal.

"Hasil saringan ujian air kencing terhadap kedua-dua lelaki berkenaan bagaimanapun didapati negatif dadah dan mereka ditahan reman sehingga 16 Mac ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana mengedar dadah dan Seksyen 39A (2) akta sama kerana memiliki ganja," katanya.

Artikel Berkaitan: