X

Kindly register in order to view this article
!

'Tiga cabaran setahun jadi Menteri Wilayah Persekutuan'

Annuar Musa berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Wilayah Persekutuan dan Agensi pada Rabu.
A
A

SHAH ALAM - Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkongsi tiga cabaran utama sepanjang beliau memegang jawatan tersebut selama setahun.

Beliau ketika berucap di Perhimpunan Bulanan Kementerian Wilayah Persekutuan dan Agensi menjelaskan, antara cabaran paling utama ditempuhi adalah memerangi pandemik Covid-19 serta tindakan-tindakan pencegahan penularan.

Menurutnya, cabaran kedua yang perlu dilaluinya adalah memastikan maklumat yang tepat berkaitan Covid-19 disampaikan kepada warga Wilayah Persekutuan.

“Bagi menghadapi cabaran ini, Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri dan Pusat Pengurusan Krisis diwujudkan yang melibatkan semua agensi berkaitan di bawah Wilayah Persekutuan.

“Setiap hari, pihak tersebut memaklumkan situasi terkini dan tindakan-tindakan yang diambil oleh agensi-agensi penguatkuasaan dimaklumkan melalui siaran media,” katanya semasa berucap di Dewan Serbaguna, Menara Seri Wilayah, Kuala Lumpur pada Rabu.

Annuar berkata, cabaran ketiga pula adalah memastikan golongan yang terkesan akibat pandemik Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diberi bantuan sebaik-baiknya.

Ujarnya, pihaknya melaksanakan pelbagai tindakan dan program yang dibahagikan kepada empat segmen utama, iaitu pembelaan kebajikan rakyat, program menangani kemiskinan bandar, penjanaan dan pemulihan ekonomi serta pembangunan mampan di Wilayah Persekutuan.

“Bantuan-bantuan yang perlu diberikan segera kepada golongan terkesan pandemik Covid-19 dan PKP dipakejkan sebagai Inisiatif Wilayah Cakna (IWC) kemudian dikembangkan melalui IWC 2.0 dan IWC 3.0, sehinggalah ke IWC 4.0.

“Secara keseluruhannya, pihak kementerian membelanjakan sekitar RM151.3 juta bagi program IWC yang memanfaatkan kira-kira 530,000 warga Wilayah Persekutuan,” katanya.

Sementara itu, Annuar menjelaskan pihaknya melaksanakan Inisiatif MY5 yang meliputi program [email protected], [email protected], [email protected], [email protected] dan [email protected] untuk mengurangkan beban golongan miskin serta B40.

Selain itu, Inisiatif Wilayah Bebas Berniaga (IWBB) dan Program Pembangunan Usahawan Anak Muda Kota juga diperkenalkan untuk memberikan peluang kepada mereka yang terkesan dengan Covid-19 menjana pendapatan alternatif serta meneruskan kelangsungan hidup.

“Dalam konteks pembangunan mampan, Kementerian Wilayah Persekutuan komited dalam usaha memastikan kawasan tanah lapang dan hutan simpan kekal sebagai kawasan hijau serta rekreasi untuk kegunaan orang awam.

“Daripada 2068.30 hektar kawasan lapang di WP Kuala Lumpur, 966.05 hektar tanah diwartakan, manakala 1033.99 hektar tanah lapang berpotensi dan akan diwartakan seperti digazetkan dalam Pelan Bandar Raya Kuala Lumpur 2020. Sebanyak 1930 hektar kawasan lapang di WP Putrajaya diwartakan sebagai kawasan hijau dan rekreasi, manakala 29.86 hektar kawasan lapang di WP Labuan juga diwartakan kawasan hijau serta rekreasi bagi kegunaan warga Labuan.

“Kementerian akan meneruskan projek Taman Tugu dalam usaha memelihara, mengaktifkan dan menghubungkan taman hutan seluas 26.7 hektar di tengah bandar raya bagi mengangkat ibu kota ini dalam menjana semua kawasan hutan sekunder sekitar Tugu Negara,” katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!