Rampas rokok seludup bersama kapal bernilai RM70 juta

Abd Rahim (dua dari kanan) dan Ayob Khan (kiri) menunjukkan pelbagai jenis rokok yang dirampas selepas menahan sebuah kapal asing di Pulau Kukup, pada sidang akhbar di IPD Pontian, pada Rabu.
Abd Rahim (dua dari kanan) dan Ayob Khan (kiri) menunjukkan pelbagai jenis rokok yang dirampas selepas menahan sebuah kapal asing di Pulau Kukup, pada sidang akhbar di IPD Pontian, pada Rabu.
A
A
A

PONTIAN - Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 2 merampas lebih 7,000 kotak rokok seludup terbesar dalam sejarah negara bernilai RM52 juta daripada sebuah kapal kira-kira 2.9 batu nautika barat daya Pulau Kukup di sini pada Isnin.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Rahim Jaafar berkata, rampasan 70 juta batang rokok pelbagai jenis itu dilakukan pada jam 8.15 malam.

"Bertindak hasil risikan dan maklumat diperoleh sepasukan Unit Risikan Marin PPM Wilayah 2 yang membuat pemantauan terhadap pergerakan sebuah kapal kargo MV Chita 2 dari Myanmar ke Batam, Indonesia.

"Kapal itu disyaki membawa muatan rokok seludup untuk dibawa masuk ke kawasan pantai barat negeri ini.

"Bot ronda PPM cuba memintas kapal tersebut dengan menyalakan 'police light' dan membunyikan siren tetapi tidak mendapat kerjasama daripada kapten kapal yang enggan memberhentikan kapal," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian di sini pada Rabu yang turut dihadiri Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay.

Mengulas lanjut, Abd Rahim berkata, kapal itu kemudiannya berjaya dipintas bot PPM Wilayah 2 dan hasil pemeriksaan awal mendapati terdapat lebih 7,000 kotak berisi rokok dipercayai tidak bercukai disembunyikan dalam ruang kargo.

Ujarnya, proses dokumentasi dan pengiraan mendapati rokok berserta kapal adalah bernilai RM70 juta.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, seramai 10 kru termasuk kapten kapal yang merupakan warganegara Myanmar dan seorang warga Singapura ditahan dalam kapal kargo tersebut yang berdaftar di Mongolia.

Kapal itu katanya, dikesan membuat perjalanan berulang alik dari perairan Batam ke Perak sebanyak dua kali sejak Februari lalu.

"Modus operandi secara 'transshipment' dari kapal yang melalui perairan antarabangsa telah dikenal pasti digunakan oleh penyeludupan.

"Sindiket penyeludupan rokok ini dipercayai sudah lama beroperasi bergerak di garisan perairan antarabangsa bagi mengelak daripada ditahan. Sekiranya mendapati tiada pengawasan pihak berkuasa, barulah mereka memasuki perairan negara," katanya.

Sepanjang perjalanan dari Batam ke Perak katanya, mereka akan mencampakkan kotak rokok yang diletakkan dalam plastik ke laut sebelum diambil oleh kapal kecil tempatan.

Menurutnya, kesemua kru kapal kargo berkenaan ditahan di IPD Pontian bagi menjalankan siasatan lanjut mengikut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967.

"JKDNKA melalui PPM akan sentiasa meningkatkan pengoperasian dan memperketatkan pengawalan perairan negara dari dibolosi sindiket penyeludupan ini yang dilihat sentiasa mengubah taktik bagi mengelakkan daripada dikesan pihak berkuasa," katanya.