X

Kindly register in order to view this article
!

Lima ahli Geng Nuar Manchis diberkas polis

Dadah dipercayai jenis heroin dan wang tunai yang berjaya dirampas daripada Geng Nuar Manchis pada 3,4 dan 5 Mac lalu.
A
A

BENTONG - Ahli sindiket dadah, Geng Nuar Manchis dipercayai tumpas susulan lima lelaki berjaya diberkas dalam operasi baru-baru ini.

Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata, selain tangkapan itu operasi oleh sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Bentong turut merampas dadah jenis heroin seberat kira-kira 4.4 kilogram bernilai RM48,947 serta menyita wang tunai sebanyak RM14,700 dan barang kemas bernilai RM14,300.

"Lima suspek lelaki berusia 21 hingga 35 tahun diberkas di lokasi berasingan di daerah ini dan Lembah Kelang pada 3,4 dan 5 Mac lalu. Penahanan bermula dengan tangkapan dua lelaki berumur 26 dan 35 tahun yang menaiki motosikal di Jalan Lama Bentong-Kuala Lumpur kira-kira jam 6.30 petang pada 3 Mac lalu dan dadah seberat 905.28 gram dirampas.

"Hasil ujian saringan awal mendapati kedu-dua suspek positif Methamphetamine dan mereka memiliki satu rekod lampau berkaitan dadah. Kedua-duanya direman tujuh hari dan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Bentong pada Rabu.

Hadir sama, Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar.

Mohd Yusri berkata, susulan penahanan dua lelaki itu, seorang lagi suspek iaitu lelaki berusia 26 tahun ditahan di tepi jalan berhampiran pondok pengawal sebuah kondominium di Lembah Klang pada 4 Mac lalu kira-kira jam 6.45 petang.

"Siasatan lanjut daripada tangkapan tersebut,seorang lagi lelaki berusia 26 tahun ditahan dalam kenderaan jenis Perodua Myvi di sebuah tempat letak kenderaan berhampiran pondok pengawal kondominium di Lembah Klang dan merampas dadah dipercayai heroin seberat 530 gram kira-kira jam 1.45 petang pada 5 Mac lalu.

"Pada tarikh sama (5 Mac) kira-kira jam 5 petang, polis telah menahan sebuah kereta jenis Honda City yang dinaiki seorang lelaki berusia 21 tahun di tempat letak kenderaan di Lembah Kelang dan merampas dadah dipercayai jenis heroin seberat 2,970 gram," katanya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu geng berkenaan dipercayai aktif sejak empat bulan lalu dan memperoleh bekalan dadah dari Kuala Lumpur untuk pasaran di Bentong.

"Jumlah rampasan dadah boleh dibekalkan kepada 8,810 orang penagih dan tangkapan ini membawa kepada kejayaan menumpaskan kegiatan pengedaran dadah yang didalangi warganegara tempatan," katanya.

Tambah beliau, usaha mengesan baki ahli kumpulan itu sedang giat dijalankan.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!