JDT IV talian hayat Harimau Selatan

Rejim latihan tersusun yang diamalkan pemain JDT IV. - Foto Johor Southern Tigers
Rejim latihan tersusun yang diamalkan pemain JDT IV. - Foto Johor Southern Tigers
A
A
A

PASUKAN Johor Darul Ta'zim (JDT) merupakan nama yang tidak asing dalam kancah bola sepak tanah air dan amat terkenal dengan sejarah kebangkitannya.

Bahkan kelab bola sepak dengan jolokan Harimau Selatan itu juga sudah mempunyai sesuatu yang boleh dibanggakan selain mempunyai reputasi tinggi di persada antarabangsa terutama Asia Tenggara.

Mengutip 12 piala dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini bukanlah sesuatu yang mudah.

Boleh dikatakan potensi ditunjukkan pasukan selatan tanah air ini berada dalam kelasnya yang tersendiri.

Namun, kejayaan demi kejayaan yang dipamerkan JDT bukan semata-mata megahnya kemenangan diperolehnya tetapi apa yang disumbangkan bagi memajukan bola sepak tempatan sekali gus setaraf dengan liga profesional luar.

Berkenaan itu, fasiliti, kemudahan dan kebajikan pemain adalah yang paling dititikberatkan dan semestinya Harimau Selatan sudah berada di hadapan malah semakin jauh meninggalkan pesaing terdekat.

Agenda utama itu diberikan keutamaan, pujian seharusnya diberikan apabila kelab terbabit juga mempunyai pelan jangka masa panjang iaitu penubuhan akademi sukan dan skuad remaja seawal bawah 12 tahun.

Menolak tepi kemajuan dipamerkan Skuad JDT (Liga Super), JDT II (Liga Perdana) dan JDT III (Piala Presiden), boleh dilihat sifat efisyen diteruskan pasukan ini apabila terus merekrut pemain muda berkualiti di JDT IV yang kini bersaing di Piala Belia.

Artikel Berkaitan:

Projek pembangunan akar umbi dengan beberapa kelab gergasi Eropah seperti Borussia Dortmund dan Valencia adalah standard ditampilkan kelab terbabit yang mana mahu kepakaran profesional luar boleh membantu rejim latihan dan taktikal lebih berkesan.

Sebahagian daripada aksi dipamerkan salah seorang aksi pemain JDT IV.
Sebahagian daripada aksi dipamerkan salah seorang aksi pemain JDT IV.

Ketua Jurulatih JDT IV, Gonzalo Sanz Zaballos berkata, ketika dirinya mengambil tugas selaku pengendali pasukan tersebut, apa yang diinginkan kelab adalah melahirkan pemain berkualiti.

Katanya, ia sekali gus menggilap pemain untuk memulakan era baharu bola sepak tempatan dalam tempoh beberapa tahun lagi.

"Sudah semestinya kemenangan memang dituntut kelab dalam apa jua saingan yang kami hadapi. Tetapi yang paling penting pengalaman dan kaedah terbaharu untuk menjadikan pemain terbaik dalam era mereka.

"JDT mempunyai kemudahan dan prasarana terbaik sebagai akademi pemain muda, setakat ini pemain sudah menunjukkan kemajuan dan semakin matang dalam mengawal permainan," katanya ketika ditemui Sinar Harian, baru-baru ini.

Beliau berkata, untuk musim lepas dan musim ini, kira-kira 10 pemain dari JDT IV sudah diserap untuk menjalani latihan atau bermain dalam kesebelasan utama JDT II dan JDT III.

Sementara itu, Pengurus Pasukan JDT IV, Mohammed Shakib Ali berkata, bagi saingan Piala Belia, pasukannya mensasarkan kedudukan empat terbaik bagi saingan tahun ini.

Beliau yang juga Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kulai (MPKu) baharu sahaja dilantik menggalas tanggungjawab itu, dilihat yakin dengan kemampuan dan rekod yang dipamerkan para pemain dalam perlawanan lalu.

Mohammed Shakib (duduk,lima,kanan) dan Gonzalon Sanz (duduk,enam,kanan) bersama tenaga pengajar serta pemain JDT IV.
Mohammed Shakib (duduk,lima,kanan) dan Gonzalon Sanz (duduk,enam,kanan) bersama tenaga pengajar serta pemain JDT IV.

"Saya dimaklumkan ada pemain kita sudah beberapa tahun berada dalam skuad yang sama, ia menjadikan mereka semakin serasi dan tahu apa yang diperlukan dalam setiap perlawanan.

"Musim lepas kita menduduki tangga ke tujuh tetapi jurangnya dengan pasukan kelima dan keenam tidak terlalu jauh. Kita mempunyai peluang dan berharap pasukan dapat menebusnya dalam saingan kali ini," katanya.

Beliau berkata, susulan kebenaran diperoleh, MPKu sendiri ada mengeluarkan peruntukan yang mana untuk digunakan bagi kemudahan logistik, pengangkutan dan kepentingan pemain.

"Peruntukan ini untuk kita gunakan bagi kemudahan pengangkutan pemain, perjalanan, dan barang-barang pemain termasuklah kasut bola. Kita juga sediakan makanan di hostel mereka diami sebagai motivasi mereka.

"Harapan saya untuk pemain muda ini, mereka sudah diberikan peluang untuk pergi jauh, mereka juga dapat tunjuk ajar jurulatih berpengalaman, membawa nama Johor, jadi mereka perlu rebut peluang dan tonjolkan yang terbaik," katanya.