KPWKM, MAFI terima KSU baharu

Dr Maziah Che Yusoff
Dr Maziah Che Yusoff
A
A
A

PUTRAJAYA - Dr Maziah Che Yusoff dilantik sebagai Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) berkuat kuasa pada Rabu.

Menurut Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali, pelantikan Maziah yang sebelum ini menjawat jawatan Timbalan Ketua Pengarah, Unit Perancang Ekonomi adalah bagi menggantikan Datuk Dr Junaidah Kamaruddin.

Maziah, 54, yang berkhidmat selama 29 tahun dalam perkhidmatan awam berpengalaman luas dalam pelbagai bidang termasuk perancangan dan penyelidikan, ekonomi dan pembangunan modal insan.

Selain itu, Maziah juga mempunyai kelulusan Doktor Falsafah Ekonomi Antarabangsa dari Universiti Leeds, United Kingdom, Sarjana Ekonomi dari Universiti Kebangsaan Malaysia dan Ijazah Sarjana Muda Sastera (Kepujian) dari Universiti Toledo, Ohio, Amerika Syarikat.

"Dengan pengalaman dan kredibiliti yang dimiliki, saya yakin beliau mampu melaksanakan tanggungjawab dengan meneruskan visi kementerian sebagai peneraju utama dalam mencapai kesaksamaan gender, pembangunan keluarga dan masyarakat penyayang sebagai asas pembentukan negara maju yang terbilang," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Jawatan pertama disandang Maziah adalah sebagai Penolong Setiausaha di Kementerian Tenaga, Telekom dan Pos pada 1 Disember 1992 dan beliau sebelum ini juga pernah menyandang jawatan Timbalan Pengarah Kanan di Institut Tadbiran Awam Negara, Jabatan Perkhidmatan Awam.

Dalam kenyataan berasingan, Mohd Zuki mengumumkan pelantikan Datuk Haslina Abdul Hamid sebagai KSU Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) yang baharu juga berkuat kuasa pada Rabu.

Haslina, 53, adalah Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) MAFI sebelum pelantikan terkini dan pernah menjawat jawatan Timbalan Ketua Setiausaha (Pelancongan), Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan.

Artikel Berkaitan:

Berkelulusan Sarjana Undang-Undang dari Universiti Keio, Jepun dan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dan Pentabiran (Kepujian) dari Univerisiti Malaya, Haslina telah berkhidmat selama 25 tahun dalam perkhidmatan awam.

"Saya berkeyakinan penuh dengan kelayakan, pengalaman serta kredibiliti beliau dalam menjayakan visi dan misi Kementerian Pertanian dan Industri Makanan," kata Mohd Zuki. - Bernama