Lelaki terlantar 21 tahun miliki MyKad baharu

Zainun menunjukkan Mykad milik Azman di rumahnya di Lorong 12, Kubang Buaya pada Rabu.
Zainun menunjukkan Mykad milik Azman di rumahnya di Lorong 12, Kubang Buaya pada Rabu.
A
A
A

KUANTAN - Seorang lelaki yang terlantar selama 21 tahun selepas terlibat kemalangan jalan raya kini memiliki MyKad baharu selepas pihak Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Pahang menyerahkan identiti pengenalan itu ke rumahnya pada Rabu.

Walaupun tidak mampu bergerak dan bercakap, namun dari gerakan mata Azman Othman,50, menunjukkan dia gembira apabila kad pengenalan miliknya itu siap sepenuhnya.

Ibunya, Zainun Marto bersyukur kerana pihak JPN membantu memudahkan urusan Azman untuk membuat kad pengenalan baharu.

"Saya gembira kerana JPN memudahkan urusan penukaran MyKad anak saya. Terima kasih kepada semua pihak yang membantu melancarkan urusan Azman terutama Unit Mobile Ehsan yang datang ke rumah pada Isnin lalu," katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Lorong 12, Kubang Buaya sempena penyerahan MyKad baharu kepada Azman yang disempurnakan oleh Pengarah JPN Pahang, Juzilawati Kamarudin, pada Rabu.

ARTIKEL BERKAITAN: Kudrat ibu tua jaga anak terlantar 21 tahun

Pada Ahad lalu, Sinar Harian menyiarkan kisah Zainun dengan kudrat usia 84 tahun menjaga Azman yang terlantar di katil selepas terbabit kemalangan jalan raya pada tahun 1999.

Keluarga berkenaan mendakwa telah membuat permohonan kepada JPN untuk mendapatkan MyKad baharu bagi memudahkan proses pengeluaran wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) milik Azman yang pernah bekerja sebagai penghantar barang sebelum kemalangan itu.

Zainun berkata, setelah siap MyKad, pihak KWSP akan menguruskan semua permohonan pengeluaran wang simpanan Azman.

Artikel Berkaitan:

"Saya juga ucapkan terima kasih kepada KWSP Pahang kerana sudi memudahkan urusan anak saya," kata warga emas itu lagi.

Juzilawati (kanan) menyerahkan Mykad kepada Zainun bagi mewakili Azman ketika program penyerahan kad pengenalan di rumahnya di Lorong 12, Kubang Buaya pada Rabu.
Juzilawati (kanan) menyerahkan Mykad kepada Zainun bagi mewakili Azman ketika program penyerahan kad pengenalan di rumahnya di Lorong 12, Kubang Buaya pada Rabu.

Sementara itu, Juzilawati berkata, JPN menerusi program Mobile Ehsan sepanjang tahun membantu mempermudah proses mendapatkan MyKad bagi individu yang tidak berupay tanpa perlu hadir ke kaunter JPN seperti amalan biasa.

Menurutnya, sejak Januari lalu, pihaknya menerima 13 permohonan bagi urusan pengenalan diri di seluruh Pahang membabitkan pesakit yang terlantar, warga emas dan orang kelainan upaya (OKU).