Empat nelayan Indonesia ditahan ceroboh perairan negara

Bot nelayan yang dikesan berada di kedudukan 18.3 batu nautika barat Laut Pulau Jarak di sini ditahan KM Tugau. Gambar kecil: Ikan pelbagai jenis seberat 10kg turut dirampas Maritim.
Bot nelayan yang dikesan berada di kedudukan 18.3 batu nautika barat Laut Pulau Jarak di sini ditahan KM Tugau. Gambar kecil: Ikan pelbagai jenis seberat 10kg turut dirampas Maritim.
A
A
A

LUMUT - Seorang tekong bersama tiga awak-awak warga Indonesia ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) selepas menceroboh perairan negara pada Selasa.

Pengarah Maritim Perak, Kepten Shahrizan Raman berkata, kesemua mereka ditahan Kapal Maritim (KM) Tugau yang sedang melaksanakan Op Benteng selepas mendapati sebuah bot berada dalam keadaan mencurigakan.

Menurutnya, bot nelayan tanpa nombor pendaftaran yang dinaiki warga Indonesia itu berada di kedudukan 18.3 batu nautika barat Laut Pulau Jarak pada jam 4.05 petang Selasa.

"Pemeriksaan lanjut mendapati, tekong serta kru merupakan warga Indonesia yang berumur dalam lingkungan 29 hingga 45 tahun dan disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

"Tekong dan kru bersama bot diiring ke Pusat Tahanan Vesel (PTV) Kampung Bharu Sitiawan bagi tujuan siasatan dan tindakan lanjut bersama lebih kurang 10 kilogram ikan," katanya menerusi kenyataan akhbar pada Rabu.

Sementara itu, Shahrizan berkata, penahanan tersebut membuktikan pihak Maritim sentiasa bersiap siaga dalam menguatkuasakan undang-undang bagi membendung kegiatan jenayah di laut walaupun negara masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat atau aduan mengenai jenayah maritim diminta menyalurkan kepada Pusat Operasi Maritim Perak di talian 05-6838737 atau MERS 999.

Artikel Berkaitan: