'Baliklah Muqri... Ma rindu'

Muhammad Muqri dilaporkan hilang sejak Sabtu lalu selepas keluar dari kediaman di Seberang Takir, Kuala Nerus. - Foto Ihsan pembaca
Muhammad Muqri dilaporkan hilang sejak Sabtu lalu selepas keluar dari kediaman di Seberang Takir, Kuala Nerus. - Foto Ihsan pembaca
A
A
A

KUALA NERUS - Seorang ibu meluahkan kebimbangan setelah anak tunggalnya yang merupakan orang kurang upaya (OKU) intelektual hilang sejak empat hari lalu.

Salina Abdul Rahman, 50, dari Kampung Bukit Tok Beng di sini berkata, anaknya, Muhamad Muqri Abdul Rahman, 20, didapati hilang selepas keluar dari rumah neneknya di Kampung Baru, Seberang Takir pada Sabtu lalu.

"Kali terakhir saya lihat dia jam 5 petang Sabtu lalu. Sebelum dia keluar, ada berlaku sedikit perselisihan antara saya dengan dia. Dia mengamuk, memukul lutut saya dan saya memarahinya.

"Selepas makan nasi, dia keluar rumah dan terus tak balik-balik. Hari ini sudah masuk empat hari dia hilang.

"Saya bimbang sangat sebab selama ini dia tak pernah buat begini. Paling lama pun kalau keluar sebelah siang, dalam jam 12 tengah malam nanti dia akan balik ke rumah," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Rabu.

Menurut Salina, dia telah melaporkan kehilangan anaknya di Balai Polis Gong Badak di sini jam 5 petang pada Ahad.

Katanya, anaknya yang disahkan OKU ketika berusia enam tahun itu tidak pandai menunggang motosikal dan basikal.

Tambah Salina, sudah bermacam ikhtiar digunakan termasuk menjejaki anaknya di merata tempat sehingga ke Kuala Berang, Hulu Terengganu, namun masih tidak bertemu.

Artikel Berkaitan:

"Saya amat sedih apabila teringatkan dia sehingga makan pun tidak lalu asyik terbayangkan dia ada di rumah. Saya juga telah ikhtiar buat solat hajat dan bertemu ustaz supaya dia segera ditemui dalam keadaan selamat.

"Semalam (Selasa) ada orang beritahu terjumpa dia di sebuah kedai di Chabang Tiga tetapi belum sempat buat apa-apa dia sudah lari. Saya berharap sangat agar dia dapat ditemui semula," katanya.

Mana-mana individu yang terjumpa Muhamad Muqri boleh hubungi talian 013-7696603 atau 013-9666660 atau membawa ke balai polis berdekatan.