Rasuah: Dua individu termasuk Datuk Seri direman 6 hari

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Dua individu termasuk seorang ahli perniagaan bergelar Datuk Seri direman selama enam hari bagi membantu siasatan kes menerima rasuah berjumlah RM300,000 daripada seorang individu kononnya bagi membantu melepaskan 22 warga China yang ditahan di depoh imigresen.

Perintah reman hingga Isnin itu dikeluarkan Majistret Fatina Amyra Abdul Jalil di Mahkamah Majistret di sini selepas menerima permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Rabu.

Seorang wanita yang merupakan ejen pekerja asing berumur 41 tahun disyaki bertindak sebagai orang tengah turut direman untuk membantu siasatan.

Sumber SPRM berkata, wanita itu telah ditahan pada pukul 1 pagi Rabu, manakala lelaki berumur 44 tahun itu ditahan kira-kira 8 malam Selasa. Kedua-dua suspek ditahan di Pejabat SPRM Selangor.

Katanya, suspek lelaki itu mendakwa boleh membantu menyelesaikan kes penahanan 22 warga China yang ditahan kerana disyaki terlibat dalam sindiket judi dalam talian dan Macau Scam.

Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 16 (a) (A) Akta SPRM 2009. - Bernama

Artikel Berkaitan: