Sarjan didakwa atas dua pertuduhan rasuah

Tertuduh (tengah) dibawa pegawai SPRM keluar dari Mahkamah Sesyen Khas Rasuah, Kuantan selepas selesai sebutan kesnya pada Rabu.
Tertuduh (tengah) dibawa pegawai SPRM keluar dari Mahkamah Sesyen Khas Rasuah, Kuantan selepas selesai sebutan kesnya pada Rabu.
A
A
A

KUANTAN - Seorang anggota polis berpangkat sarjan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Khas Rasuah di sini pada Rabu atas dua pertuduhan menerima rasuah sebanyak RM2,000 daripada suspek kes jenayah yang dikendalikannya pada tahun lalu.

Tertuduh, Mohd Ridhuan Kasah, 43, yang bertugas sebagai Penolong Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pekan mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan atas kedua-dua pertuduhan tersebut.

Berdasarkan kertas pertuduhan dikemukakan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),Kamariah Seman, tertuduh didakwa menerima suapan sebanyak RM2,000 secara serahan tangan daripada suspek kes yang dikendalikan sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap lelaki tersebut.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di dua lokasi berasingan iaitu di Bilik Pegawai Penyiasat IPD Pekan dan sebuah cafe pada 18 dan 19 September 2020.

Bagi dua kes itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak lebih lima kali nilai suapan, atau RM10,000 atau mana yang paling tinggi.

Pihak pendakwaan menawarkan jaminan RM10,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain mengurangkan jumlah jaminan kepada RM7,000 selepas tertuduh mengemukakan rayuan.

Dalam rayuannya, tertuduh yang diwakili peguam Saifulddin Ab Rahman memohon jumlah jaminan dikurangkan atas alasan tertuduh terpaksa menyara isteri dan lima anak dengan pendapatan kira-kira RM1,500 sebulan.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, tertuduh juga turut menyara ibu yang uzur.

Mahkamah menerima rayuan tersebut bagaimanapun tertuduh dikenakan syarat tambahan perlu melaporkan diri di Balai Polis Pekan setiap bulan sehingga kesnya selesai.

Mahkamah menetapkan 31 Mac ini sebagai tarilh sebutan semula kes tersebut.