Dua individu ditahan langgar, halang tugas anggota polis

Rakaman video tular memaparkan anggota polis cuba menahan pemandu kereta di kawasan parkir sebuah restoran makanan segera di Bandar Baru Bangi pada Selasa.
Rakaman video tular memaparkan anggota polis cuba menahan pemandu kereta di kawasan parkir sebuah restoran makanan segera di Bandar Baru Bangi pada Selasa.
A
A
A

BANGI - Seorang lelaki dan wanita ditahan kerana disyaki melanggar serta menghalang tugas anggota polis ketika melakukan pemeriksaan di kawasan parkir sebuah restoran makanan segera di Seksyen 9 Bandar Baru Bangi di sini pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, kedua-dua individu berusia 19 dan 20 tahun itu ditahan pada jam 10.30 malam.

Menurutnya, sepasukan anggota Ronda Cegah Jenayah Balai Polis Bandar Baru Bangi sedang melakukan rondaan telah terserempak dengan sebuah kereta dalam keadaan mencurigakan di kawasan parkir itu.

"Anggota polis menghampiri kereta berkenaan dan cuba membuat pemeriksaan dengan mengetuk cermin serta menyuluh ke dalam kereta tersebut.

"Sejurus menyedari kehadiran polis, pemandu kereta itu cuba melarikan diri dengan bertindak melanggar motosikal serta anggota polis yang berada di hadapan kereta tersebut," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Mohd Zaid berkata, anggota polis yang berada di hadapan kereta itu terpaksa berpaut dalam keadaan kereta bergerak dengan jarak kira-kira 150 meter sebelum berjaya melepaskan diri.

"Anggota polis itu cedera ringan dan motosikal yang ditunggang mengalami kerosakan," katanya.

Beliau berkata, pihaknya telah berusaha dan melaksanakan tindakan yang perlu untuk memberhentikan kereta tersebut, namun suspek terus melarikan diri ke arah Jalan Persiaran Jaya Bandar Baru Bangi.

Artikel Berkaitan:

"Walaupun suspek berjaya melarikan diri, kita telah dapat mengecam nombor pendaftaran kereta itu. Bertindak daripada maklumat, kita berjaya melakukan tangkapan ke atas kedua-dua individu itu," katanya.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu boleh menghubungi balai polis berhampiran atau Pegawai Penyiasat kes iaitu Inspektor Mu'az Mazlan di talian 017-9788804.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan dan Seksyen 186/307/332 Kanun Keseksaan," katanya.

Dalam video berdurasi 39 saat itu memaparkan sepasukan anggota polis cuba menahan pemandu kereta tersebut.