Zainal Abidin resah tempuh jadual padat

Zainal Abidin
Zainal Abidin
A
A
A

KETUA Jurulatih Melaka United (MUFC), Zainal Abidin Hassan berharap barisan pemainnya berada dalam keadaan cergas ekoran terpaksa mengharungi jadual padat saingan Liga Super.

Beliau berkata, anak-anak buahnya mula terkesan selepas mengharungi aksi sulung Liga Super yang menyaksikan MUFC diikat Sabah dengan keputusan seri 1-1 di Stadium Hang Jebat Sabtu lalu.

"Saya berharap para pemain akan kembali cergas selepas aksi pertama tempoh hari dan mereka juga perlu mendapatkan keserasian dengan segera dalam masa terdekat.

"Kecergasan dan keserasian amat penting kerana kami bakal menempuh jadual perlawanan yang agak padat dalam masa yang singkat," katanya dalam sidang media selepas aksi menentang Sabah.

MUFC akan turun menentang PJ City FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Kelana Jaya malam ini sebelum berdepan Sri Pahang FC di Stadium Hang Jebat pada Sabtu.

Mengulas pertemuan menentang PJ City FC, Zainal mahu para pemainnya tidak mengulangi kesilapan ketika diikat Sabah sehingga terlepas meraih tiga mata berharga.

"Bagi saya, lima perlawanan selepas ini amatlah penting dan kami tidak boleh kehilangan mata lagi. Mahu atau tidak, kami perlu bangkit untuk mempertingkatkan prestasi," ujarnya.

Beliau turut memaklumkan kecederaan yang dialami S Kumaahran tidak terlalu serius dan berkemungkinan besar boleh diturunkan dalam perlawanan menentang PJ City FC.

Artikel Berkaitan:

"Kumaahran telah berusaha bermati-matian dan menunjukkan semangat yang diinginkan dalam aksi pertama tempoh hari. Bagi saya dia memang tonggak yang penting untuk pasukan," ujarnya.