Lori dipandu secara mengundur selepas langgar motosikal

Rakaman lori dipandu secara mengundur tular di laman sosial.
Rakaman lori dipandu secara mengundur tular di laman sosial.
A
A
A

BANTING - Seorang penunggang motosikal cedera dalam kemalangan melibatkan empat buah kenderaan di Kampung Bukit Changgang di sini pada Selasa.

Dalam kejadian pada jam 5.50 petang itu, mangsa yang berusia 21 tahun patah tangan dan cedera di kaki.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Selangor, Superintendan Azman Shari'at berkata, ketika kejadian, mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha 125zr dari arah Jalan Banting-Dengkil menghala ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) telah dilanggar sebuah lori datang dari arah bertentangan yang hendak membelok ke simpang di sebelah kiri.

Menurutnya, selepas perlanggaran itu, lori berkenaan telah dikepong oleh sekumpulan orang kampung.

"Pemandu lori itu kemudian bertindak memandu secara mengundur sehingga melanggar sebuah kereta Perodua Kancil dan sebuah motosikal Yamaha Y15," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Azman berkata, pemandu lori berusia 53 tahun itu mengalami kecederaan di kepala, leher, muka, tangan serta kaki disyaki akibat dipukul oleh sekumpulan orang awam.

"Lelaki itu telah dibawa ke Hospital Banting untuk rawatan," katanya.

Katanya, saksi bebas telah dikesan bagi membantu siasatan.

Artikel Berkaitan:

"Kes di siasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 42(1) akta yang sama," katanya.

Dalam video berdurasi 22 saat itu memaparkan sebuah lori dipandu secara mengundur melanggar beberapa buah kenderaan selepas terbabit dalam kemalangan dengan sebuah motosikal.