Sasar tingkat pengeluaran nanas

Dr Sahruddin (tiga dari kanan) dibawa meninjau kawasan ladang nanas MD2 sempena lawatan kerja beliau ke RIPP, Kampung Tanam Kuala Rompin, Rompin pada Selasa.
Dr Sahruddin (tiga dari kanan) dibawa meninjau kawasan ladang nanas MD2 sempena lawatan kerja beliau ke RIPP, Kampung Tanam Kuala Rompin, Rompin pada Selasa.
A
A
A

KERAJAAN menyasarkan untuk meningkatkan pengeluaran hasil nanas negara terutama jenis MD2 bagi menampung permintaan tinggi dalam pasaran tempatan dan eksport.

Pengerusi Lembaga Pembangunan Nanas Malaysia (LPNM), Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata, bagi mencapai matlamat itu, LPNM merancang untuk meningkatkan keluasan kawasan ladang nanas negara daripada 16,000 hektar ketika ini kepada 20,000 hektar dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Setakat ini menurutnya, kawasan penanaman nanas MD2 hanya 15 peratus berbanding keluasan ladang nanas sedia ada dan menjangkakan jumlah itu akan ditingkatkan sekurang-kurangnya kepada 50 peratus pada masa akan datang.

Dr Sahruddin (tengah) meninjau operasi kilang pembungkusan nanas milik RIPI.
Dr Sahruddin (tengah) meninjau operasi kilang pembungkusan nanas milik RIPI.

“LPNM juga merancang untuk meluaskan penanaman nanas MD2 ke Sabah.

“Secara keseluruhannya, pengeluaran nanas negara sebanyak 400,000 metrik tan dengan nilai lebih RM500 juta setahun belum mampu untuk menampung permintaan pasaran ketika ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja ke Ladang Nanas Bersepadu Rompin (RIPP) di Kampung Tanam, Kuala Rompin di sini pada Selasa.

Pada majlis itu, Dr Sahruddin turut menyampaikan Insentif Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) Prihatin Pengusaha Nanas kepada pihak Rompin Integrated Pineapple Industries Sdn Bhd (RIPI) yang diwakili Pengurus Besarnya, Mohd Hiswandi Aris.

Artikel Berkaitan:

Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) LPNM, Mohd Khairuzamri M Salleh dan Pengurus Besar Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), Datuk Mohd Mazlan Sharudin.

Sahruddin (dua dari kiri) menyampaikan Insentif Pre Prihatin Pengusaha Nanas kepada pihak Rompin Integrated Pineapple Industries Sdn Bhd (RIPI) yang diwakili Mohd Hiswandi (dua dari kanan) sempena lawatan kerja beliau ke RIPP, Kampung Tanam, Kuala Rompin, Rompin pada Selasa.
Sahruddin (dua dari kiri) menyampaikan Insentif Pre Prihatin Pengusaha Nanas kepada pihak Rompin Integrated Pineapple Industries Sdn Bhd (RIPI) yang diwakili Mohd Hiswandi (dua dari kanan) sempena lawatan kerja beliau ke RIPP, Kampung Tanam, Kuala Rompin, Rompin pada Selasa.

Dr Sahruddin berkata, LPNM amat mengalu-alukan agar lebih banyak pemain industri meneroka potensi tanaman nanas MD2 bagi membantu meningkatkan pengeluaran nanas negara.

Pacu ekonomi

Menurut Dr Sahruddin, RIPP mula dibangunkan bermula Oktober 2010 secara berperingkat dan ladang tersebut antara pemain industri nanas negara.

Malah katanya, hasil keluaran di kilang itu bukan hanya untuk pasaran tempatan malah bagi dieksport ke beberapa negara termasuk ke Timur Tengah, China dan Jepun.

“Secara keseluruhannya, RIPP mempunyai keluasan 575.24 hektar dan projek ini melibatkan tiga komponen utama iaitu syarikat induk, RIPI, Koperasi Orang Asli dan Usahawan Kontrak.

“Kompleks RIPP dan infrastruktur ladang dibangunkan di bawah ECERDC dengan kos RM50 juta manakala kos pelaburan swasta kira-kira RM180 juta,” jelasnya.

Sahruddin (dua dari kanan) meninjau operasi kilang pembungkusan nanas milik RIPI sempena lawatan kerja beliau ke RIPP, Kampung Tanam, Kuala Rompin, Rompin pada Selasa.
Sahruddin (dua dari kanan) meninjau operasi kilang pembungkusan nanas milik RIPI sempena lawatan kerja beliau ke RIPP, Kampung Tanam, Kuala Rompin, Rompin pada Selasa.

Tambah beliau, RIPP dibangunkan bagi mengurangkan jurang perbezaan ekonomi serta membantu meningkatkan kualiti kehidupan masyarakat setempat terutama orang asli.

“Ia juga sebagai usaha meningkatkan pengeluaran nanas premium MD2 bagi keperluan eksport selain mewujudkan peluang keusahawanan melalui pemasaran yang efisien antara syarikat induk dan usahawan kontrak.

“Pada masa sama, ia juga sebagai platform untuk menarik pelaburan swasta dalam pengeluaran nanas berskala besar di negara ini,” katanya.

Menurut Dr Sahruddin, seramai 5,000 pekebun, pengusaha dan pihak-pihak yang terlibat dalam industri nanas negara akan menerima manfaat Insentif PRE Prihatin Pengusaha Nanas 2020-2021.

Pulangan yang baik

Sementara itu, Mohd Hiswandi berkata, syarikatnya merebut peluang untuk meningkatkan pengeluaran nanas MD2 bagi memenuhi permintaan terutama bagi pasaran eksport yang begitu tinggi.

Katanya, tanaman nanas mempunyai potensi yang cerah untuk menjadi buah utama seperti durian musang king yang mendapat permintaan tinggi.

“Dengan bantuan pihak kerajaan khususnya LPNM, nanas mampu pergi lebih jauh dan memberi pulangan amat baik kerana pengeluarannya sepanjang tahun dan tidak bermusim,” ujar beliau.