X

Kindly register in order to view this article
!

Abah terlepas peluang keemasan

Penganalisis melihat krisis Covid-19 dan ekonomi adalah waktu terbaik untuk Muhyiddin turut melibatkan pemimpin pembangkang.
A
A

[LAPORAN KHAS] TAN Sri Muhyiddin Yassin disifatkan telah melepaskan peluang keemasan untuk menjadi Perdana Menteri yang membawa seluruh negara bersama menangani pandemik Covid-19 dan memulihkan ekonomi.

Ini kerana menurut penganalisis politik, Profesor Wong Chin Huat, Muhyiddin seharusnya melibatkan pelbagai pihak termasuk pembangkang dalam urusan mendepani Covid-19 di negara ini.

Mengambil contoh kejayaan Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Arden, Chin Huat berkata, kerajaan campuran minoriti itu menjadi sangat popular dalam usaha memerangi wabak Covid-19 sehingga menang besar dalam pilihan raya umum bulan Oktober tahun lalu.

Chin Huat
Chin Huat

“Sebuah kerajaan yang berjaya mengangkat negara mengatasi dugaan sebegini mestilah melibatkan pelbagai pihak dalam melakar dasar, memastikan tiada sektor atau komuniti yang ketinggalan,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau menegaskan, Muhyiddin mempunyai peluang sebelum sesi Belanjawan 2021 untuk mengajukan gencatan politik dengan pembangkang supaya semua parti dapat menumpukan perhatian terhadap Covid-19 dan ekonomi sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Sekiranya ahli Parlimen pembangkang dilibatkan dalam penggubalan atau penambahbaikan dasar melalui jawatankuasa-jawatankuasa khas di Parlimen, sudah tentu dasar kerajaan akan lebih berkualiti dan boleh diterima parti lawan.

“Dan sekiranya Perdana Menteri memberi peranan setimpal kepada ahli Parlimen pembangkang sebagai syarat kerjasama maka beliau tidak perlulah menumpukan masa dan tenaga untuk melindungi kuasa dirinya termasuk dengan cara darurat untuk mencegah pemberontakan ahli Parlimen UMNO,” katanya.

Mengulas UMNO yang tidak bersama PN untuk PRU15 nanti, Chin Huat tidak menolak kemungkinan satu perjanjian akan tercapai sebelum hari penamaan di mana Pas akan berkecuali di antara UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) atas syarat UMNO juga tidak mengganggu kawasan ditandingi Pas.

“Ini bermakna Pas mungkin muncul sebagai satu-satunya parti utama dalam PN manakala Bersatu akan dihapuskan atau dijadikan parti kerdil oleh UMNO,” katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!