X

Kindly register in order to view this article
!

Kontraktor sedia khidmat pengurusan jenazah percuma

Amal Team Rembau kini mempunyai dua buah van jenazah untuk dimanfaatkan masyarakat setempat.
A
A

SEREMBAN - Tidak berpeluang menguruskan jenazah bapanya yang meninggal dunia akibat mati dibunuh menyebabkan seorang kontraktor menyediakan khidmat menguruskan jenazah secara percuma kepada masyarakat setempat.

Menerusi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Amal Team Rembau, Ibrahim Hamzah, 32, bersama pasukannya seramai 24 orang menawarkan khidmat berkenaan tanpa mengira waktu kepada mereka yang memerlukan terutama di kawasan Rembau.

"Cara kematian arwah ayah pada 10 tahun lalu sangat memberi kesan kepada kehidupan saya kerana dia mati akibat dibunuh.

"Sebagai anak saya betul-betul sedih kerana tak dapat uruskan jenazah ayah dan paling terkilan apabila mayatnya gagal dijejaki sehingga hari ini," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Ibrahim
Ibrahim

Rasa terkilan itu kemudiannya diubati dengan menyediakan perkhidmatan van jenazah di sekitar Rembau secara percuma pada tiga tahun lalu.

Ibrahim berkata, jika dia tidak dapat menguruskan jenazah arwah bapanya, kenapa dia tidak membantu menguruskan jenazah orang lain.

"Dengan van yang saya ada, saya jadikan ia sebagai van jenazah untuk dimanfaatkan orang ramai. Saya mula dengan guna kos sendiri.

"Tapi tak sangka selepas sebulan beroperasi seorang diri, usaha saya ini telah tarik minat orang lain untuk turut serta termasuklah kumpulan penggali kubur di kawasan Taman Chembong," katanya.

Menceritakan lebih lanjut, Ibrahim berkata, usaha itu adalah permulaan buatnya memperluaskan kerja amal dilakukan dari sekadar menyediakan van jenazah percuma kepada khidmat pengurusan jenazah secara percuma sehingga tertubuhnya Amal Team Rembau.

Pasukan Amal Team Rembau sedia perkhidmatan menguruskan jenazah secara percuma
Pasukan Amal Team Rembau sedia perkhidmatan menguruskan jenazah secara percuma

Katanya, sebelum ini dia menjadikan rumahnya sebagai pusat operasi, tetapi kini dia telah menyewa sebuah rumah di Taman Chembong Jaya untuk dijadikan lokasi operasi termasuk tempat menguruskan jenazah.

"Operasi Amal Team Rembau ini sepenuhnya hasil sumbangan orang ramai dan duit poket kami sendiri.

"Saya bersyukur kerana setakat ini kami tidak pernah terputus dana. Walaupun begitu saya amat mengalu-alukan orang ramai untuk terus menghulurkan sumbangan," katanya.

Dalam pada itu, Ibrahim berkata, menguruskan jenazah itu adalah fardu kifayah dan dia percaya jika niat mereka ikhlas usaha yang dilakukan itu akan dipermudahkan.

Malah dia yang merupakan bapa kepada tiga cahaya mata turut merasai kesannya apabila kesulitan yang dilaluinya sentiasa dipermudahkan.

"Saya percaya rezeki ALLAH itu sentiasa ada. Khidmat kami ini juga bukan pada mereka yang tak mampu saja, tapi terbuka kepada semua," katanya.

Pasukan Amal Team Rembau sedang menguruskan jenazah yang akan dikebumikan.
Pasukan Amal Team Rembau sedang menguruskan jenazah yang akan dikebumikan.

Sementara itu salah seorang ahli Amal Team Rembau, Amran Abdul Goyas Khan, 55, yang berperanan sebagai penggali kubur berkata, dia terbuka hati menyertai pasukan itu kerana kerja amal yang dilakukan.

"Lagipun saya memang berkhidmat sebagai penggali kubur di Taman Chembong Utama ini sejak tahun 2009 lagi. Jadi bila ada pasukan ini, saya seronok untuk terlibat sama," katanya.

Bagi Ketua Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) Mukim Chembong, Naraizan Abd Malik, 62, dia amat menggalakkan anggota Rela di kawasan itu untuk turut serta bersama Amal Team Rembau.

Katanya, adalah menjadi tanggungjawab setiap orang untuk menguruskan jenazah dan dengan adanya pasukan itu ia dapat memudahkan lagi pengurusan jenazah penduduk di kawasan itu.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!