Hari Wanita dan kekejaman ke atas kaum Hawa

Malaysia digemparkan dengan pembunuhan kejam dua wanita baru-baru ini.
Malaysia digemparkan dengan pembunuhan kejam dua wanita baru-baru ini.
A
A
A

TANGGAL 8 Mac diiktiraf dan disambut seluruh dunia sebagai Hari Wanita pada peringkat antarabangsa. Ia menjadi acara tahunan bagi mengiktiraf kejayaan golongan wanita di seluruh negara.

Di Malaysia, wanita melakar sejarah tersendiri sebagaimana kata pepatah 'tangan yang menghayun buaian boleh menggoncang dunia’.

Dalam pentadbiran negara, siapa dapat melupakan nama-nama pemimpin veteran seperti Tun Fatimah Hashim yang menjadi wanita Malaysia pertama menjawat tugas menteri penuh pada tahun 1969.

Tidak ketinggalan Tan Sri Aishah Ghani yang menjadi wanita pertama Malaysia ke Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada tahun 1967.

Mereka ibarat membuka pintu kepada lebih ramai wanita Malaysia melakar kejayaan dalam bidang masing-masing di pentas dunia.

Antara yang menjadi kebanggaan Malaysia hari ini termasuklah Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail wanita pertama dilantik Timbalan Perdana Menteri; Nicol Ann David yang merangkul juara dunia skuasy sebanyak lima tahun dan Tan Sri Tengku Maimun Tuan Mat yang merupakan wanita pertama dilantik Ketua Hakim Negara.

Wanita Malaysia juga cemerlang dalam bidang perniagaan, antaranya Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin, Neelofa, Datuk Vivy Yusof dan Tan Hooi Ling.

Namun, di sebalik kejayaan demi kejayaan ini, ada kisah duka yang perlu diberi perhatian kerajaan, pihak berkuasa dan NGO terhadap 15.7 juta wanita Malaysia. Adalah sangat tragis, masih ramai wanita terperangkap dalam keganasan, penganiayaan dan kekejaman.

Artikel Berkaitan:

Hanya beberapa hari sebelum kita meraikan Hari Wanita, Malaysia digemparkan dengan pembunuh kejam seorang suami yang tergamak menembak mati isteri dengan senapang angin di Kota Tinggi, Johor.

Isterinya dimasukkan ke dalam tong sebelum ditanam di kawasan ladang kelapa sawit. Malah, pada 8 Mac, satu lagi kes pembunuhan kejam didedahkan polis apabila seorang eksekutif Pertubuhan IKRAM Malaysia, Nik Khatijah Nik Mud ditemui mati dijerut di rumahnya.

Ini sekadar sekelumit kisah kerana wanita turut dicederakan secara fizikal, seks dan psikologi. Hakikatnya, wanita Malaysia masih perlu diperkasa dan diberikan keberanian. Kerajaan perlu menghulurkan 'tangan’ untuk menarik mereka keluar lebih awal daripada perangkap keganasan.