X

Kindly register in order to view this article
!

Percepat undang-undang dana politik

Kerajaan digesa mempercepatkan pelaksanaan undang-undang dana politik bagi mengelakkan berlakunya salah guna kuasa. Gambar kecil: Muhammad Fathi
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan digesa mempercepatkan pelaksanaan undang-undang dana politik bagi mengelakkan berlakunya salah guna kuasa dalam pengurusan projek pembangunan dan perolehan kerajaan.

Pakar perlembagaan, Dr Muhammad Fathi Yusof berkata, undang-undang tersebut sudah lama disediakan untuk diluluskan oleh Parlimen namun disebabkan beberapa halangan, ia masih tertangguh.

“Undang-undang berkaitan pembiayaan politik ini penting bagi memastikan penglibatan politik tidak dijadikan batu loncatan untuk meraih kekayaan dengan cara mudah.

“Justeru, kita berharap usaha ini dapat disegerakan dan tidak terus terbantut,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, kawal selia parti politik sepatutnya bukan di bawah Pendaftar Pertubuhan tetapi di bawah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) atau satu badan khusus yang diberi kuasa untuk memantau secara terperinci.

“Syarikat yang terlibat dengan perolehan kerajaan tidak boleh memberikan sumbangan kepada parti politik.

“Parti politik pula perlu memberikan laporan pendapatan, penajaan dan perbelanjaan secara telus,” katanya.

Muhammad Fathi turut mencadangkan agar kerajaan mewujudkan satu bentuk cukai khas bagi semua pemegang jawatan atas lantikan politik.

Menurutnya, jawatan itu bermula daripada Perdana Menteri sehingga mereka yang memegang jawatan di syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

“Sebagai contoh, potongan cukai dua hingga lima peratus daripada gaji bulanan boleh dimasukkan dalam satu dana khas. Kemudian wang yang terkumpul daripada dana ini diagihkan kepada parti-parti politik mengikut formula yang adil.

“Saya percaya dengan cara ini ia dapat mengurangkan pergantungan parti-parti kepada badan korporat dalam mendapatkan dana politik,” katanya.

Antara cadangan lain, beliau berkata, dasar dana politik juga perlu dilakukan secara realistik.

Katanya, ia berikutan setiap parti memerlukan wang untuk perbelanjaan parti dan juga pilihan raya.

“Kalau diharapkan daripada kutipan awam, tentunya terhad. Jika mengharapkan sumbangan korporat pula, kita khuatir ia membuka jalan kepada rasuah,” katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!