Bashar kekal berkuasa walau hampir 10 tahun perang berlaku

Presiden Syria, Bashar al-Assad dijangka bertanding dan memenangi pilihan raya presiden di negara itu yang akan diadakan pada tahun ini. - Foto AFP
Presiden Syria, Bashar al-Assad dijangka bertanding dan memenangi pilihan raya presiden di negara itu yang akan diadakan pada tahun ini. - Foto AFP
A
A
A

PRESIDEN Bashar al-Assad yang berkuasa sejak tahun 2000 masih bertahan sebagai pemimpin di Syria walaupun negara itu dilanda Perang Saudara yang berlaku pada 15 Mac 2011 bagi menggulingkannya.

Setelah hampir 10 tahun Perang Saudara yang berlaku akibat tunjuk perasaan rakyat menentang kerajaan pimpinannya, lebih 387,000 orang terbunuh dan puluhan juta penduduk hilang tempat tinggal.

Bashar, 55, merupakan seorang doktor mata yang mendapat pendidikan lanjutan di Britain dan menjadi Presiden negara itu setelah bapanya, Hafez al-Assad yang memerintah secara kuku besi meninggal dunia pada tahun 2000.

Beliau kini masih memimpin Syria walaupun revolusi Arab yang lebih dikenali sebagai Arab Spring bermula pada awal tahun 2011 yang menyaksikan kejatuhan Presiden di Tunisia, Mesir dan Libya.

Ketika di awal kebangkitan penduduk Arab, kedudukan Bashar dilihat goyang dan pentadbiran Presiden Syria masih berfungsi walaupun dipinggir oleh masyarakat antarabangsa dan pernah kehilangan dua pertiga wilayah di negaranya kepada kumpulan-kumpulan pejuang yang mahu menggulingkannya.

Kumpulan Daesh juga dikatakan pernah menguasai satu pertiga negara itu sebelum kehilangan hampir keseluruhan wilayah yang berada dalam penguasaannya pada tahun 2017 manakala pemimpinnya, Abu Bakr Baghdadi terbunuh dalam serangan tentera Amerika Syarikat (AS) di utara Syria pada tahun 2019.

Bagaimanapun, beberapa penganalisis berkata, perwatakannya yang sabar dan sokongan dari negara Rusia serta Iran termasuk faktor-faktor lain telah menyelamatkan Presiden Syria itu daripada menerima kekalahan.

"Bertahun-tahun selepas seluruh dunia menuntut beliau berundur dan berpendapat kemungkinan beliau mungkin digulingkan, kini beberapa buah negara mahu bekerjasama dengannya," kata seorang ahli politik veteran Lubnan, Karim Pakradouni seperti dilaporkan oleh AFP.

Artikel Berkaitan:

"Bashar tahu bagaimana hendak bermain dalam permainan yang panjang," katanya yang menyentuh kebijaksanaan Presiden Syria itu untuk kekal lama sebagai pemimpin walaupun terdapat krisis politik di negaranya.

Tentera kerajaan Syria menyokong Presiden Bashar al-Assad adalah antara sebab yang membuatkan beliau masih kekal berkuasa di negara itu. - Foto AFP
Tentera kerajaan Syria menyokong Presiden Bashar al-Assad adalah antara sebab yang membuatkan beliau masih kekal berkuasa di negara itu. - Foto AFP

Pada tahun 2011, Bashar memilih menggunakan tindakan kekerasan bagi menamatkan tunjuk perasaan antipemerintahannya sehingga mencetuskan peperangan antara tentera kerajaan dengan kumpulan-kumpulan bersenjata yang menentang pentadbiran beliau.

Kumpulan-kumpulan bersenjata yang tidak menyokong pemerintahannya kemudian dikategorikan sebagai pengganas.

Namun, Bashar masih lagi berkuasa dan menguasai semula lebih 60 peratus wilayah di negaranya selepas satu siri kemenangan tenteranya dengan bantuan Rusia bagi mendapatkan kembali wilayah-wilayah dirampas oleh kumpulan-kumpulan bersenjata yang menentang pemerintahannya,

Sokongan tentera terhadap Presiden itu juga memainkan peranan utama dalam pengekalan jawatannya sehingga sekarang selain keazamannya untuk terus berkuasa dan mentadbir negara tersebut.

Doktor mata bermazhab Syiah itu masih sanggup untuk mentadbir Syria yang mempunyai kepelbagaian agama seperti fahaman Sunni, Syiah, Kristian dan penduduknya terbahagi antara berketurunan Arab dengan Kurdis serta lain-lain minoriti lagi.

Menurut seorang penyelidik tetapi enggan namanya disiarkan kepada AFP, sikap ketakutan sebahagian penduduk kepada kekacauan dan pengikut-pengikut fahaman Syiah Alawite pegangan Bashar yang takut beliau akan digulingkan telah memberikan keuntungan politik kepada Presiden Syria itu.

Katanya, beliau mampu untuk membuat semua keputusan dan memastikan pihak tentera menyokongnya selain struktur rejim Damsyik yang memastikan tidak ada sesiapa yang mampu memperoleh pengaruh besar untuk mencabar kedudukannya.

Ketiadaan pihak pembangkang yang efektif juga telah menyebabkan Bashar mampu untuk mengekalkan kekuasaannya di Syria.

Pada tahun 2012, lebih 100 buah negara telah mengiktiraf perikatan pembangkang dikenali sebagai Perikatan Kebangsaan Syria sebagai wakil sah untuk rakyat negara tersebut tetapi ia juga gagal untuk menggulingkan Bashar.

Ketika beliau berusia 55 tahun, Presiden Syria itu dijangka mengekalkan lagi kuasanya bagi penggal empat pemerintahannya selepas pilihan raya Presiden akan diadakan pada bulan April dan Mei tahun ini. - Agensi