Remaja menipu jadi punca guru dipenggal?

Tindakan Paty yang menyinggung perasaan Muslim telah mencetuskan protes anti-Islamofobia. - Foto: Agensi
Tindakan Paty yang menyinggung perasaan Muslim telah mencetuskan protes anti-Islamofobia. - Foto: Agensi
A
A
A

PARIS - Seorang remaja perempuan berusia 13 tahun mengaku dia berbohong tentang gurunya yang dipenggal kerana didakwa menunjukkan karikatur Nabi Muhammad SAW hingga mencetuskan gelombang protes anti-Islamofobia di Perancis dan merebak ke beberapa negara.

Sebelum ini, remaja tersebut mendakwa guru terbabit, Samuel Paty mengarahkan pelajar Muslim supaya meninggalkan kelas ketika sesi pembelajaran subjek sivik yang menyentuh isu kebebasan suara.

Bapanya turut didakwa berkongsi beberapa video provokasi di Facebook gara-gara terlampau percaya bulat-bulat dengan dakwaan anaknya.

"Hasil siasatan mendapati remaja itu telah menipu sejak dari awal dan dia dipercayai mereka cerita hanya kerana mahu menarik perhatian bapanya.

"Peristiwa itu tidak pernah berlaku dan ia berakhir dengan tragis," lapor radio RTL memetik kenyataan Virginie Le Roy yang merupakan peguam keluarga Paty pada Selasa.

Dakwaan tidak benar dilemparkan remaja itu dan tersebar secara meluas di media sosial telah menyebabkan guru sekolah menengah di bandar Conflans-Sainte-Honorine berhampiran Paris itu dipenggal pada Oktober 2020.

Pembunuhnya bagaimanapun ditembak mati oleh polis.

Difahamkan, pelajar terbabit telah berdepan dakwaan memfitnah manakala dua individu lain termasuk bapanya berdepan tuduhan bersubahat dalam pembunuhan tersebut dan kini dipenjarakan sementara menunggu perbicaraan.

Artikel Berkaitan:

Baru-baru ini, draf undang-undang keselamatan baharu telah dibahaskan di Parlimen yang akan menetapkan sebagai satu kesalahan jika menerbitkan maklumat secara dalam talian tentang penjawat awam yang mungkin boleh mengancam nyawa mereka. - AFP