X

Kindly register in order to view this article
!

Unisel sasar capai 100 universiti terbaik dunia

Kampus Unisel di Bestari Jaya.
A
A

BESTARI JAYA - Universiti Selangor (Unisel) menyasarkan untuk berada dalam kedudukan 100 universiti terbaik dalam penarafan Matrik Hijau Universiti Dunia (Green Metric World University Rankings) dalam tempoh lima tahun akan datang.

Menurut Presiden dan Naib Canselornya, Profesor Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman, antara bidang yang dipraktikkan untuk mencapai sasaran tersebut termasuklah konservasi terhadap bidang perikanan.

“Ketika ini kita sedang membuat penyelidikan berkenaan ikan keli. Namun kita melihat juga ikan toman (channa micropeltes) sebagai potensi kajian yang boleh dikembangkan pada masa akan datang.

“Sebagai salah satu ikan tempatan, toman memiliki potensi besar yang boleh menjana pendapatan terutama menerusi cabang perikanan rekreasi,” katanya kepada pemberita ketika berkunjung meraikan cabaran memancing ikan toman di kampus Unisel, di sini pada Ahad.

Mohammad Redzuan berkata, Unisel kini menduduki tangga ke 486 dan menerusi penyertaan kali pertama penarafan Matrik Hijau dilihat berupaya mencapai sasaran berkenaan kerana persekitaran universiti dikelilingi tasik yang luas untuk tumbesaran spesies berkenaan.

Mohammad Redzuan (dua dari kiri) meraikan pemenang cabaran memancing ikan toman di kampus Unisel Bestari Jaya pada Ahad.
Mohammad Redzuan (dua dari kiri) meraikan pemenang cabaran memancing ikan toman di kampus Unisel Bestari Jaya pada Ahad.

“Ketika ini negara Thailand berjaya membiakkan secara komersial spesies berkenaan dan dijual pada harga RM25 sekilogram.

“Unisel melihat ia boleh dicontohi sekali gus di masa akan datang Unisel boleh menjadi pusat kajian pembiakan ikan tempatan ini dan akhirnya boleh memberi manfaat kepada sektor perikanan dan mampu menjana sumber pendapatan kepada banyak pihak,” katanya.

Menurutnya, Unisel berusaha mengumpulkan toman yang ada di beberapa tasik di dalam kampus untuk diletakkan di sebuah tasik khas yang diberi nama The Tomanz.

“Unisel akan membuka secara rasmi The Tomanz pada Mei nanti kepada kaki pancing sempena sambutan ulang tahun ke-20 Unisel.

“Kita akan jadikan The Tomanz bukan sahaja tempat penyelidikan ikan toman tetapi juga sebagai lokasi pancingan rekreasi dengan dilengkapi pelbagai kemudahan pengunjung,” katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!