Lelaki hina Islam, hasut murtadkan seorang wanita ditahan

Gambar kecil: Huzir Mohamed
Gambar kecil: Huzir Mohamed
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis menahan seorang lelaki disyaki menghina agama Islam serta menghasut untuk memurtadkan seorang wanita pada Selasa.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, lelaki berusia 29 tahun itu ditahan pada jam 12.05 tengah hari.

"Sepasukan polis dari Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman telah menahan lelaki itu serta merampas sebuah telefon bimbit dan kad sim," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Huzir berkata, permohonan reman ke atas suspek di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah akan dipohon pada Rabu bagi siasatan lanjut.

"Kita kini dalam usaha untuk mengenal pasti dan mengesan sama ada terdapat individu lain yang turut terlibat dalam kes itu," katanya.

Huzir berkata, suspek telah memuat naik klip video berdurasi 3 minit 11 saat berkaitan kes itu melalui platform YouTube pada pertengahan Februari lalu.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 441 Akta Hasutan 1948, Seksyen 298 Kanun Keseksaan, Seksyen 505 (c) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya.

Huzir menggesa orang ramai agar menjadi pengguna media sosial yang bijak, berhemah dan tidak menggunakan platform berkenaan sehingga boleh mendatangkan kegusaran serta mengganggu gugat keharmonian negara.

Artikel Berkaitan:

"Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana individu yang sengaja mengancam ketenteraman serta keselamatan awam," katanya.