Lima deretan kedai musnah terbakar

Lima deretan kedai musnah dalam kebakaran di Kampung Simpang 3, Kuala Kurau pada Selasa
Lima deretan kedai musnah dalam kebakaran di Kampung Simpang 3, Kuala Kurau pada Selasa
A
A
A

PARIT BUNTAR - Lima deretan kedai musnah dalam kebakaran di Kampung Simpang 3, Kuala Kurau, di sini pada Selasa.

Kejadian sekitar jam 2 petang itu membabitkan kedai runcit, rumah kedai dan sebuah kedai makan ikan sembilang yang popular di kawasan berkenaan.

Tindakan pantas bomba bagaimanapun berjaya mengawal kebakaran daripada merebak ke dua lagi unit kedai bersebelahan.

Pemangku Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Muhamad Shahrizal Aris berkata, seramai 24 pegawai dan anggota dari tiga balai bomba iaitu Kuala Kurau, Parit Buntar dan Bagan Serai dikerah dalam operasi pemadaman itu.

“Api dipercayai berpunca dari bahagian tengah kedai sebelum merebak ke unit-unit yang lain.

“Keadaan cuaca panas ditambah struktur premis daripada kayu menyebabkan api mudah merebak. Kita bagaimanapun berjaya mengawal kebakaran dalam tempoh 40 minit,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian.

Saarani (tiga dari kiri) meluangkan masa meninjau lokasi kebakaran yang memusnahkan lima deretan kedai di Kampung Simpang 3, Kuala Kurau pada Selasa.
Saarani (tiga dari kiri) meluangkan masa meninjau lokasi kebakaran yang memusnahkan lima deretan kedai di Kampung Simpang 3, Kuala Kurau pada Selasa.

Beliau berkata, tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan berlaku kerana ketika kejadian semua premis tidak beroperasi.

Artikel Berkaitan:

“Punca sebenar kejadian masih dalam siasatan dan operasi ketika ini masih dijalankan bagi memastikan punca api dipadamkan sepenuhnya,” katanya.

Operasi berkenaan turut dibantu enam Pasukan Bomba Sukarela (PBS) berhampiran.

Kejadian itu turut mendapat perhatian Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad yang turun ke lokasi meninjau keadaan kebakaran sempena Program Menteri Besar bersama Rakyat (Mesra) di daerah Kerian.

Dalam lawatan itu beliau berkata, kerajaan negeri akan melihat bantuan sesuai yang boleh disalurkan bagi meringankan beban mangsa.

“Kita dimaklumkan kebanyakan mereka adalah penyewa di sini, bukan pemilik asal, begitupun ia masih melibatkan kerugian yang besar kepada mangsa,” katanya.