Ahli Parlimen Tebrau dedah Muhyiddin janji beri jawatan

Steven Choong Shiau Yoon
Steven Choong Shiau Yoon
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR), Steven Choong Shiau Yoon mendedahkan bahawa beliau dijanjikan jawatan rasmi oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi membantu kerajaan membangunkan kembali ekonomi negara.

Menurut Ahli Parlimen Tebrau itu, perkara tersebut dinyatakan kepadanya secara lisan ketika beliau melakukan pertemuan bersama Muhyiddin pada bulan lalu.

“Saya bertemu Perdana Menteri (PM) pada Februari tahun ini.

"Kami berbincang selama kira-kira satu jam, dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zuraida Kamaruddin ada bersama," katanya ketika ditemu bual dalam program wawancara yang disiarkan di Facebook FengRenGuan pada Isnin.

Menurutnya, sebelum pertemuan tersebut, beliau terlebih dahulu berhubungan dengan Zuraida dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin pada tahun lalu.

Steven berkata, pada pertemuan tersebut, beliau telah mengusulkan kepada Muhyiddin mengenai cara untuk membantu Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang sedang bergelut dalam krisis ekonomi itu ekoran Covid-19.

"Wabak ini telah menjejaskan banyak perniagaan, dan ini melibatkan pelbagai jabatan. Jika saya mempunyai kuasa, saya boleh mengarahkan semua kementerian duduk bersama dan membincangkan masalahnya,” katanya.

Pada 28 Februari lalu, Steven bersama Ahli Parlimen Julau, Larry Sng Wei Shien menyatakan sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) dengan menyerahkan akuan bersumpah (SD) yang ditandatangani mereka kepada Muhyiddin.

Artikel Berkaitan:

Pengumuman tersebut dibuat meskipun pada beberapa hari sebelumnya, Steven dilaporkan membuat penafian bahawa beliau akan meninggalkan PKR dan memberi sokongan kepada kerajaan PN.

Mengulas mengenai perkara tersebut, Steven berkata, beliau terpaksa menangguhkan pengumuman berkenaan kerana belum mendapatkan kepastian berhubung permintaannya yang disifatkan sebagai luar daripada kebiasaan.

“Ketika itu, saya benar-benar ingin mengakuinya. Tetapi saya tidak dapat melakukannya kerana saya baru berjumpa PM beberapa hari sebelumnya dan PM membuat janji lisan bahawa saya akan diberi jawatan. Tidak ada keputusan mengenai jawatan apa.

"Dia (Zuraida) kata permintaan saya itu istimewa. Saya tidak mahu jadi menteri, saya juga tidak mahu jadi timbalan menteri, saya juga tidak mahu menguruskan GLC (syarikat berkaitan kerajaan). Saya hanya mahu menyelesaikan masalah (berkaitan kesan Covid-19).

"Oleh itu, dia kata mereka memerlukan masa untuk membincangkan jawatannya. Jadi saya tidak dapat mengakuinya ketika itu kerana ini (tindakan) tidak menghormati PM, ” katanya.

Tambah Steven, meskipun beliau masih belum menerima sebarang jawatan khusus, namun Muhyiddin telah pun memberikannya kebenaran untuk memulakan beberapa tugasan berkaitan seperti mengumpulkan maklum balas daripada PKS.