Lima tokan dadah di Kluang tumpas

Jenis-jenis dadah yang dirampas dalam tiga serbuan di sekitar daerah Kluang, semalam.
Jenis-jenis dadah yang dirampas dalam tiga serbuan di sekitar daerah Kluang, semalam.
A
A
A

KLUANG - Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang bersama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor berjaya menumpaskan lima tokan dadah jenis ganja dan heroin terbesar di daerah ini dalam tiga serbuan di sekitar daerah ini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail berkata, dalam serbuan pertama kira-kira jam 11 pagi, BSJN IPD Kluang telah melakukan satu serbuan di sekitar Taman Anggerik, di sini.

"Hasil daripada serbuan, kami berjaya menahan dua lelaki tempatan berumur 34 dan 56 tahun selain turut merampas sejumlah dadah disyaki ganja seberat 935.89 gram dengan nilai pasaran dianggarkan RM3,800.

No Image Caption

"Hasil saringan ujian air kencing, kedua-dua suspek telah didapati positif dadah jenis tetra hydrocannabinol (THC)," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, dalam serbuan kedua di sekitar bandar Kluang kira-kira jam 5.45 petang, polis telah menahan seorang lelaki tempatan berumur 40 tahun dan merampas dadah disyaki heroin seberat 1,237 gram dengan nilai pasaran dianggarkan sebanyak RM30,925.

Hasil saringan ujian air kencing juga mendapati suspek turut positif dadah jenis morfin dan turut menyita dua kenderaan jenis Proton Wira dan Toyota Innova yang bernilai kira-kira RM32,300.

Artikel Berkaitan:

No Image Caption

"Dalam serbuan ketiga di Taman Sri Impian kira-kira jam 7 petang, polis telah menahan seorang lelaki dan seorang wanita tempatan berumur 32 dan 30 tahun dan berjaya merampas sejumlah dadah disyaki heroin dengan berat 93.78 gram dengan nilai pasaran kira-kira RM2,344.50.

"Hasil saringan ujian air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis morfin dan kami turut merampas wang tunai sebanyak RM500," katanya.

Menurutnya, nilai keseluruhan rampasan dadah dalam tiga serbuan tersebut bernilai RM37,069.50 dan nilai keseluruhan sitaan pula adalah sebanyak RM32,800 selain kesemua suspek direman selama tujuh hari di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbayaha 1952 untuk membantu siasatan.

Beliau percaya dengan tertumpasnya lima tokan dadah di daerah ini, pihaknya berjaya menyelesaikan kes pengedaran dadah di sekitar daerah ini selain meminta masyarakat agar terus menyalurkan maklumat aktiviti pengedaran dadah khususnya di daerah ini.