X

Kindly register in order to view this article
!

Serbu rumah ke rumah buru peserta protes

Kira-kira 200 penunjuk perasaan terperangkap di daerah Sanchaung selepas pihak berkuasa melancarkan serbuan dari rumah ke rumah. - Foto: Agensi
A
A

YANGON - Penunjuk perasaan antirampasan kuasa di Myanmar terus menjadi sasaran pasukan keselamatan apabila mereka melancarkan serbuan dari rumah ke rumah untuk memburu peserta protes terbabit pada awal pagi Selasa.

Operasi itu dilancarkan pada jam 1 pagi (waktu tempatan) di kawasan kejiranan di Yangon dan menyasarkan apartmen yang mengibarkan bendera parti Liga Kebangsaan bagi Demokrasi (NLD) pimpinan Aung San Suu Kyi.

Difahamkan, serbuan itu dibuat selepas tiga penunjuk perasaan maut ditembak ketika mogok awam dilancarkan secara besar-besaran.

"Mereka menyerbu setiap apartmen di Jalan Kyun Taw dan memecahkan kunci mangga sewenang-wenangnya," kata seorang penduduk.Kira-kira 50 individu turut ditahan dalam operasi di daerah Sanchaung tersebut.

Ketika serbuan tersebut, kira-kira 200 penunjuk perasaan dilaporkan 'terperangkap' selepas pasukan keselamatan mengepung beberapa laluan.

Menjelang subuh, kesemua mereka dibenarkan meninggalkan kawasan tersebut selepas ribuan penunjuk perasaan melanggar perintah berkurung mengadakan demonstrasi di beberapa bandar utama sebagai tanda solidariti dengan kumpulan protes yang dikepung di Sanchaung.

Dalam perkembangan berkaitan, pemerintah junta tentera turut meningkatkan tekanan terhadap media selepas ia membatalkan lesen lima rangkaian media tempatan; Mizzima, DVB, Khit Thit Media, Myanmar Now dan 7Day News.

Tindakan tegas itu dibuat selepas kesemua rangkaian media tersebut didakwa memberikan liputan secara meluas tentang siri protes itu yang membantah rampasan kuasa dilancarkan Tatmadaw pada 1 Februari lalu.

Data Persatuan Bantuan untuk Tahanan Politik menunjukkan lebih 60 individu terkorban selepas pasukan keselamatan menggunakan tindakan kekerasan secara melampau ke atas kumpulan tersebut yang menentang keras penggulingan pemerintah awam yang sah. - AFP


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!