Tanah rizab empangan diceroboh

Sulaiman (berdiri, tengah) ketika meninjau kawasan Empangan Durian Tunggal, Alor Gajah pada Selasa.
Sulaiman (berdiri, tengah) ketika meninjau kawasan Empangan Durian Tunggal, Alor Gajah pada Selasa.
A
A
A

ALOR GAJAH - Kerajaan Melaka mengesan kegiatan pencerobohan tanaman kontan termasuk durian musang king di atas tanah rizab Empangan Durian Tunggal.

Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata, aktiviti pencerobohan pertanian seperti itu tidak boleh dibiarkan hinggakan terdapat chalet dan rumah penginapan yang dibina membabitkan kawasan seluas 188.73 hektar.

Menurutnya, tindakan itu telah menyumbang kepada penyusutan air di empangan dan penurunan kualiti air mentah yang digunakan untuk lima loji utama.

Katanya, Badan Kawal Selia Air (BKSA) Melaka dan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Alor Gajah telah mengambil tindakan memberikan notis pengosongan tapak sejak tahun 2014 dan hasil pemantauan mendapati 75 peratus penceroboh telah mengosongkan kawasan rizab terbabit dan selebihnya masih dalam pemerhatian.

"Selain pencerobohan tanaman kontan seluas 31.33 hektar, terdapat struktur bangunan kekal dibina di atas tanah rizab empangan yang masih digunakan sebagai rumah penginapan, rumah pekerja asing, rumah pam air, chalet dan lain.

"Kita akan mengambil tindakan secepat mungkin dan segera terhadap penceroboh tegar yang masih ada, sedangkan sepatutnya tanah rizab itu tidak diceroboh, sehinggakan dijadikan tempat percutian dan penginapan," katanya.

Sulaiman berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengadakan lawatan kerja ke Empangan Durian Tunggal, di sini pada Selasa.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Dr Hasim Hasan; Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan), Datuk Salhah Salleh; Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB), Abd Rashid Ab Rahman dan Pengarah Badan Kawal Selia Air (BKSA) Melaka, Faizah Abd Rahman.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Sulaiman meluangkan masa kira-kira 20 minit dengan menaiki bot dan melihat sekitar Empangan Durian Tunggal yang telah diceroboh.

Sulaiman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu berkata, kerja-kerja mematikan pokok kelapa sawit menggunakan kaedah suntikan juga telah dilaksanakan bagi mengatasi masalah pencerobohan membabitkan kawasan berkeluasan 135.18 hektar dan dijangka siap sepenuhnya September depan.

Menurutnya, akibat pencerobohan seumpama itu telah menyebabkan Melaka kehilangan kira-kira 32.5 peratus air empangan disebabkan kadar mendapan sedimen oleh aktiviti pengemburan tanah, pembajaan, pembukaan tanah baharu dan penggunaan racun perosak.

"Kerja-kerja pembersihan tapak tanaman dan perobohan struktur bangunan kekal itu dijalankan secara berperingkat selain kerja-kerja pemasangan pagar di sekitar empangan sepanjang 12.1 kilometer," katanya.

Sulaiman pada program itu turut menerima peruntukan RM2.25 juta daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) bagi pembelian lima unit 'portable water.